03 September 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA ...DIA..


:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

27 August 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (20)

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

Aku memberikan alasan lupa kepada Encik Zulhadi.Ada rasa bersalah bertamu di sudut hati.Aku meminta maaf dan berjanji menemuinya esok.Nasib baik Encik Zulhadi boleh diajak berunding.Aku tersenyum lega.Sesampai di rumah aku terus mempersiapkan diri untuk solat Maghrib.Walaupun keletihan namun,kewajipan harus aku laksanakan jua.

Kalau diikutkan hati, malas aku nak berjumpa Emir.Aku letih dan teramat letih.Namun janji harus ditepati.Hati dan perasaan anak orang harus dijaga.Tatkala aku sampai di hadapan Hotel Merdeka Palace, Emir telah sedia menungguku bersama sejambak mawar kuning.Hehe..dari dulu, kini dan selamanya aku berpesan kepada sesiapa yanag berhajat menghadiahi bunga untukku hendaklah bunga mawar kuning.Seperti biasa aku memberikan laluan kepada Emir untuk menjadi pemanduku.

Ketibaan kami di Sarawak Golf Club disambut beberapa orang rakan Emir.Dengan bangganya Emir memperkenalkan aku sebagai tunangannya kepada rakan-rakannya.Aku sekadar mengangguk kepala dan tersenyum sebagai tanda menghormati mereka.Sepanjang perbualan Emir dan rakan-rakannya aku dapat rasakan aku tidak sesuai berada dalam kelompok mereka.Aku gelisah yang teramat sangat.Sesekali kulemparkan jua senyuman.Ikhlas atau tidak aku sendiri pun tidak pasti.

Dalam perjalanan balik, aku tak mampu membendung rasa mengantukku lagi.Akhirnya aku tertidur tanpa mempedulikan Emir di sebelahku.Aku tak pasti berapa lama aku tertidur.Apabila aku membuka mata, aku melihat kami sudah berada di hadapan rumahku.Emir menatap wajahku bersama segaris senyuman di bibirnya.Ada perasaan malu bertamu di hatiku.

“Letih sangat ke?”Aku sekadar menganggukkan kepala.Tanpa berlengah aku mengajak Emir keluar untuk berjumpa dengan keluargaku.Aku agak kekok berduaan sebegitu di dalam kereta.Nanti apa pulak kata orang.Kalau mama tengok pasti panjang lebar khutbahnya.

Oleh sebab malam telah larut akhirnya aku meminta tolong abang untuk menghantar Emir balik ke hotel.Untuk menyedapkan hati Emir aku berjanji akan menemuinya awal pagi.menyesal juga aku berjanji sebegitu kerana aku tak suka keluar rumah awal-awal pagi.Tapi apa boleh buat demi menjaga hati tuning tersayang.Hehehe..sejauh mana sayang itu aku pun tak tahu.

Aku merenung cincin pertunangan di jari manisku.Tetiba airmataku menitis.rasa sedih dan pilu menusuk kalbuku.Kata-kata Emir sebelum masuk ke balai berlepas petang tadi amat mengguris perasaanku.Mengapa Emir tidak mahu memahami perasaanku?Aku bukannya mengelak untuk berjumpa keluarganya pada masa cuti yang akan datang.Tetapi tuntutan tugas perlu aku utamakan.Tambahan pula banyak kerja kursus yang aku kena siapkan.Emir pula menuduh aku sengaja memberikan pelbagai alasan untuk tidak menemui keluarganya.

Aku capai laptop aku.Saat ini aku perlukan seseorang untuk menenangkan aku.Dan aku tahu seperti biasanya hanya DIA yang mampu menenangkan aku.

16 August 2012

Duit raya daripada DIA...


:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

03 August 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (19)

“Sabtu nanti i akan datang untuk mesyuarat dan pastinya untuk berjumpa tunang tersayang juga..”kata-kata Emir membuat aku terkedu.Bukannya aku tidak gembira untuk berjumpa dengannya tetapi hari Sabtu nanti aku ada kuliah.Kuliah sampai petang.Kalau ikut kata Emir, dia akan sampai jam 7.35 pagi. Dia akan menghadiri mesyuarat jam 9 pagi.Huhu..Emir nak aku menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.Aku perlu mencari jalan agar Emir tidak mencurigai aku.Buat sementara ini aku tidak mahu Emir tahu aku sedang menyambung pengajianku. Aku tak bersedia untuk mendengar ceramah percumanya.

Aku menghantar SMS kepada DIA. Aku ceritakan keresahanku kepadanya. DIA menasihati aku memikirkan jalan terbaik agar tidak timbul masalah yang akan menjerat diri aku sendiri.Sempat juga DIA mengingatkan aku agar memakai cincin pertunanganku.Hehe..ini yang membuat aku semakin senang berkawan dengan DIA.Ada tikanya kebaikan DIA membuat aku seakan lupa semua dendam dan percaturan yang aku aturkan untuknya.Dan ada masanya perasaan bersalah mulai membenih di benakku.Namun keegoanku tidak akan menyerah dengan mudah.

Aku mencari nombor telefon bimbit tutor Bahasa Melayu Tinggi aku. Segera aku menghubunginya dan memberitahu aku akan hadir kuliah beliau lewat sedikit Sabtu nanti. Nasib baiklah Encik Bujang tidak banyak karenahnya.Maka,buat seketika aku boleh bernafas lega.Dalam kepala aku sudah buat perancangan jahat.Aku harus bijak menyembunyikan segalanya..

Awal-awal lagi, aku sudah menyarungkan cincin pertunanganku.Aku takut terlupa.Setibanya di lapangan terbang,Emir Asyraf Dato Maulana merangkap tunanganku sudah menunggu.“I miss you sayang..”.Meremang bulu romaku mendengar panggilan ‘sayang’ daripada Emir.Aku yakin Emir nampak wajahku yang merona merah.Emir menawarkan diri untuk memandu.Aku mengiyakan saja.Sebabnya, aku tidak suka memandu.Selepas menemani Emir sarapan, aku segera meminta diri dengan alasan ada mesyuarat di sekolah.Emir sedikitpun tidak mencurigai aku.

Daripada Hotel Merdeka Palace aku pecut ke Stutong Management Centre. Aku berharap aku tidak terlalu lewat untuk menghadiri kuliah.Kesesakan lalu- lintas membuat aku sedikit kelam-kabut.Aku aturkan langkah dengan cepat menaiki tangga untuk sampai ke bilik kuliah.Oooppss!! Aku terlanggar seseorang.Buku-buku aku terjatuh di atas tangga.Tatkala aku mendengar kata maaf daripada orang yang aku langgar, hatiku berdegup kencang.Aku telah melanggar Encik Zulhadi. Malunya tak terkata.Encik Zulhadi tersenyum dan sempat menyakat aku. “Nak kejar siapa ni?”Aku tersipu malu dan segera meminta diri untuk masuk bilik kuliah.Baru saja nak mengatur langkah,Encik Zulhadi memanggilku.“I want to see u later.After class.”Aku sekadar mengangguk tanpa kata.

Aku gagal memberikan sepenuh tumpuan terhadap kuliahku.Fikiran aku berkecamuk. Memikirkan Emir yang meminta aku menemaninya ke majlis makan malam di rumah kawannya.Memikirkan Encik Zulhadi yang meminta aku berjumpanya selepas kuliah petang nanti.Kalau aku berjumpa dengan Encik Zulhadi, pastinya aku akan terlewat untuk berjumpa Emir. Aku harus bijak membuat keputusan.Minta-mintalah otak aku berfungsi dengan baik untuk merekacipta idea yang bernas.

Selepas tamat kuliah English Writing Skill, aku segera memboloskan diri dan menuruni anak tangga dengan cepat.Aku takut untuk bertembung dengan Encik Zulhadi.Segera aku larikan kereta ke jalan utama untuk pecut balik ke rumah.Jeritan HP aku, membuat aku hampir melanggar kereta di hadapanku.Aku tahu itu adalah panggilan daripada Encik Zulhadi. Setelah beberapa kali HP aku menjerit, dalam keterpaksaan aku menjawab panggilan Encik Zulhadi.

25 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (18)

Aku merenung pada timbunan buku yang aku perlukan untuk menyiapkan tugasanku.Sudah dua hari aku tidak menyentuhnya apalagi untuk menyiapkannya. Bukannya aku malas tetapi peristiwa yang berlaku dua hari lepas adalah punca segala-galanya.

Pengakuan Emir membuat aku resah.Ternyata Emir benar-benar maksudkan apa yang pernah dia bagitau aku dulu.Apa yang perlu aku lakukan?Takkanlah aku harus biarkan semuanya berakhir di sini.Mana mungkin semuanya berlalu begini.Kalau aku berterus terang dengannya, apa pulak reaksinya.Kalau aku berdiam diri pulak,bukankah aku tidak jujur kepada Emir.Ya Allah, fikiran aku betul-betul buntu.

Saat ini aku akui aku amat perlukan seseorang untuk aku luahkan segala yang berbuku di hati.Tapi aku tak tahu kepada siapa aku perlu ceritakan segalanya.Jeritan HP aku mematikan lamunanku.Aku lihat nama pemanggilnya.Encik Zulhadi.Aku serba salah untuk menyahut panggilannya.Ingin saja aku biarkan panggilan itu tidak berjawab tetapi aku tak sampai hati.Encik Zulhadi sudah banyak membantu aku.Tambahan pula aku amat menghormatinya.

Barangkali perubahan suaraku menyebabkan Encik Zulhadi menyerangku dengan pelbagai soalan.Aku cuba berdalih agar tidak menceritakan masalah aku kepadanya.Dia bukan pilihan yang tepat untuk aku ceritakan segalanya.Akhirnya dengan nada setengah mendesak, Encik Zulhadi menyuruh aku menunggunya di Pustaka Negeri Sarawak.Ada yang penting.Itu katanya.Aku terpaksa akur walaupun hatiku keberatan.

Aku ingatkan aku yang sampai awal,rupanya aku silap.Encik Zulhadi sudah sedia menunggu kedatanganku.Dengan hanya memakai T-shirt dan seluar jean,penampilan Encik Zulhadi begitu menyerlahkan karismanya.Sesungguhnya lelaki ini memang tergolong dalam kategori “good looking”.Aku tersipu malu tatkala Encik Zulhadi menegurku yang begitu asyik merenung seraut wajahnya.Entah penyakit apa yang menyerangku, dadaku berdegup kencang setiap kali Encik Zulhadi merenungku.

Aku tak pasti apa tujuan sebenar Encik Zulhadi mengajak aku ke Pustaka Negeri Sarawak .Nak kata untuk berbincang tentang tugasan aku yang belum siap itu, tak juga.Perbualan kami lebih banyak menjurus kepada soal peribadi.Barangkali dia hendak mengorek rahsia hati yang terpendam yang menyebabkan aku tidak bermaya.Itu persepsi aku.Sedihnya aku bukanlah orang yang mudah menceritakan rahsia peribadiku melainkan dengan orang tertentu saja.Untuk menghilangkan resah yang mula bertamu dan degupan kencang di dada, aku meminta izin untuk balik.Alasan aku,tidak sihat.Aku tahu Encik Zulhadi tahu itu hanyalah alasan aku saja.Biarlah,aku sudah tidak larat untuk berada di situ lebih lama.Aku takut dia dapat mengesan debaran di hatiku.

Setelah melabuhkan punggung di dalam kereta, aku beristifar beberapa kali.Berdosakah aku kepada Emir?Mengapa aku boleh berperasaan demikian dengan Encik Zulhadi?Ya Allah, berilah aku petunjuk dan jauhilah aku dari sebarang kesesatan.Hilangkanlah perasaan aneh yang mula berputik ini.Aku tak rela dan tak sanggup memikirkan kesudahannya.Emir Asyraf,maafkan aku.

21 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (17)

“Just give me a call kalau ada masalah.”Sempat Encik Zulhadi mengingatkan aku selepas kuliah.Sememangnya aku sedikit risau hendak menyiapkan tugasan yang baru aku dapat.Stamford Raffles.Itu tajuk tugasan aku.Aku dikehendaki mencari sumbangan Stamford Raffles dalam bidang Bahasa Melayu.Aku sudah intai kat pelbagai laman sesawang tetapi aku belum mendapat maklumat yang aku perlukan.Kalau tokoh seperti Munsyi Abdullah tidaklah aku pening kepala.

Demi tugasan yang harus aku selesaikan, malam itu aku menghubungi Encik Zulhadi.Kesungguhan Encik Zulhadi membantuku mencari maklumat Stamford Raffles amat aku hargai.Tanpa sedar malam itu aku dan Encik Zulhadi berbincang tentang tugasan aku sehingga lewat malam.Sesekali dalam perbincangan itu,Encik Zulhadi selitkan soalan-soalan peribadi untuk aku jawab.Aku menjawab setulus hatiku sehinggalah kepada persoalan tentang lelaki idaman aku.Aku menganggapnya satu gurauan apabila Encik Zulhadi memberitahu aku memiliki ciri-ciri wanita idamannya.Alahai Encik Zulhadi, janganlah menduga aku sebegitu.

Hari ini ialah majlis pertunangan aku dan Emir Asyraf. Majlis yang diadakan secara sederhana tetapi meriah.Biasalah rakan-rakan bisnes keluarga kami dan keluarga Dato Maulana,apabila berjumpa pasti kecoh.Semua yang hadir dalam majlis pertunangan kami gembira.Aku lihat mama dan nenek begitu teruja dengan penyatuan itu.Hanya aku yang menangis dalam keriuhan itu.Tapi aku pamerkan juga senyuman untuk menutup luka di hatiku.Hatiku semakin sebak saat nenek Emir menyarungkan cincin pertunangan ke jari manisku.Aku cuba menyeka airmata yang bergenang di tubir mata saat dia memelukku dan menghadiahi ciuman di pipiku.Mengikut persetujuan kedua-dua pihak aku dan Emir akan diijabkabulkan selepas setahun pertunangan kami.Seram aku memikirkannya.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Emir bersungguh-sungguh meminta aku menjaga ikatan pertunangan kami.Aku sekadar mengangguk saja.Sesungguhnya aku takut untuk berjanji kepada sesuatu yang tidak pasti.Tapi aku akan cuba menjaga kehormatan dan status aku sebagai tunangannya.Walaupun ada sedikit ketidakrelaan dalam pertunangan ini,tetapi aku harus bertanggungjawab.Aku tidak membantah malah menerima saja pertunangan kami.Maka aku harus berani menanggung risikonya.

Setibanya aku di rumah, aku menghantar mesej kepada DIA untuk memaklumkan pertunangan aku .Ucapan tahniah daripada DIA sedikit pun tidak mengembirakan hatiku.Sebaliknya ada rasa sebak bertandang.Sempat juga DIA menasihatiku untuk meruntuhkan sedikit tembok keegoan aku,jika mahukan pertunangan aku berkekalan.Sejauh mana keikhlasan DIA mengucapi kata-kata itu tidak aku ketahui.Biarlah..tak penting pun buat aku.DIA bukan siapa-siapa buat aku.Hanya buah percaturan aku saja.

Cincin pertunanganku aku buka dan simpan balik ke dalam kotaknya.Malas aku nak memakainya.Kalau mama tanya nanti pandai-pandailah aku menjawabnya.Semua barang hantaran pertunangan aku masukkan ke dalam almari.Sebak hatiku melihat semua barang hantaran itu.Video dan gambar majlis pertunanganku juga belum aku lihat.Mungkin ada yang tidak percaya kalau aku kata aku tidak menyimpan gambar Emir.Bukannya Emir tidak mahu memberi kepadaku tetapi aku yang malas menyimpannya.

18 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (16)

Cuaca mendung sepanjang hari rupa-rupanya merupakan amaran awal kepadaku bahawa Allah akan mengujiku lagi.Wanita itu...bekas sahabat karibku...bekas isteri Zafrul...dan ibu kepada anak Zafrul.Aku ingatkan dia datang untuk meminta maaf daripada aku.Rupa-rupanya kedatangan dia sekadar untuk menambah luka di hatiku.Sebaris ayat yang dilemparkannya kepadaku menambah luka di hatiku.Aku perampas suami orang? Kerana aku mereka bercerai?Kerana aku rumahtangga mereka musnah?Hebatnya dugaan ini.

Aku menjerit sekuat-kuat hatiku.Airmataku tumpah lagi.Sebak di dada tak mampu aku tahan.Pedih dan perit.Sekali lagi Pantai Damai menjadi saksi kelukaan hatiku.Ketenangan Laut Cina Selatan tidak mampu menghilangkan duka di hatiku.Lembut bayu menyapa tidak mampu memujuk lara hatiku.

Semalaman aku tak tak mampu melelapkan mataku.Satu persatu cerita masa lalu bermain di fikiran.Makanya,aku nampak lesu sangat untuk menghadiri kuliah pertamaku hari ini. Nasib baik kawanku Assyifa banyak membantu aku sepanjang kuliah Bahasa Melayu Tinggi.Kepalaku semakin sakit.Mataku mula mengantuk.

Wow!Hanya itu yang mampu aku ungkapkan.Betul seperti jangkaanku,Encik Zulhadi sememangnya lelaki yang bergaya dan hebat.Patutlah beliau mempunyai ramai peminat.Aku amat mengagumi penampilannya.Tutur bicaranya amat menyakinkan.Hilang rasa mengantukku.Semasa sesi memperkenalkan diri, beliau sempat memberi komen akan namaku.“Panjang,menarik,unik...tapi pelik”.Aku hanya mampu tersenyum membalas komennya itu.Itu bukan kali pertama orang memberi komen tentang namaku.Aku tak tahu di planet mana papa dan mama mengutip namaku itu.

Sepanjang kuliah Encik Zulhadi, aku jawab sambilewa saja soalan-soalan yang dikemukakannya.Otak aku sememangnya agak lambat beroperasi apabila aku kurang tidur. Mungkin sikap aku yang menampakkan ketidaksungguhanku menyebabkan Encik Zulhadi asyik melirik kepadaku.Huhuhu..janganlah tenung aku lama-lama, nahas nanti.

Miazlan Blogspot.Hadiah DIA kepadaku.Pastinya aku gembira dan berterima kasih kepada DIA.Menurut DIA,ruang ini diwujudkan untukku kerana DIA tahu minat aku dalam dunia pengkaryaan. Tapi entah mengapa ada kegusaran menyapa.Aku ikhlas menerima hadiah itu tetapi aku juga ragu-ragu.Aku kurang senang apabila DIA terlalu baik kepadaku.Aku meragui kejujurannya.Aku risau DIA tahu dirinya adalah buah percaturan aku.Aku bertambah gelisah apabila mengingati kata-kata DIA.DIA berharap suatu hari nanti dia akan berjaya mematahkan keegoan aku.Aku tak sanggup membayangkan andainya tiba saat itu.Aku tak tidak boleh mengalah kepada DIA.Terpenting aku tak boleh cair dengan semua kebaikannya.

Kepalaku ligat memikirkan strategi seterusnya untuk aku memerangkap DIA.Akhirnya aku tersenyum sendiri.Aku sudah tahu apa yang perlu aku lakukan.DIA bukan calang-calang orang.Aku perlu bijak mengikut rentaknya.Biarlah apa tanggapan DIA terhadapku,aku tak kisah.Adalah lebih baik jika dia rasa ada cinta di hatiku untuknya.Dengan demikian akan memudahkan aku untuk menjayakan percaturan aku.Sedetik persoalan bermain di lubuk hati.Kejamkah aku kepada DIA?

15 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (15)

Duduk bersebelahan dengan Zafrul membuat aku resah.Aku bingkas bangun dengan alasan hendak membuat panggilkan telefon.Aku aturkan langkah keluar Bistro Cafe.Aku sedikit terhibur melihat telatah penambang Sungai Sarawak yang mengusik penumpang-penumpangnya. Terusik juga hati kecilku tatkala memikirkan kepayahan mereka mencari sesuap nasi selepas wujudnya jambatan penghubung Bandaraya Kuching dan kawasan Petra Jaya. Sejak wujudnya jambatan tersebut,pintu rezeki mereka semakin tertutup. Malah ramai yang telah beralih arah mencari rezeki.Yang tinggal hanyalah penambang-penambang yang sudah berusia sekitar lima puluhan.

“Maafkan aku...”Tanpa sedarku Zafrul berada di sebelahku bersama mawar kuning yang aku tinggalkan di atas meja tadi.Mudahnya Zafrul berkata maaf.Sudah berkali-kali dia melukakan hatiku dan berkali-kali jualah dia melontarkan kata maaf.Kalaulah kemaafan itu dapat mengembalikan masa laluku...Mawar kuning yang dihulurkannya kepadaku aku campakkan ke Sungai Sarawak. Lantas aku meninggalkannya yang masih terpaku dengan tindakan aku sebentar tadi.

Sesampainya dalam kereta barulah aku menelefon abang memberitahunya aku terpaksa balik.Alasan aku, aku tidak sihat.Aku larikan keretaku menyusuri tebingan Sungai Sarawak dengan perasaan yang berkecamuk.Aku agak berkecil hati dengan mama yang masih lagi berbaik dengan Zafrul Hisyam.Untuk seketika aku teringin sangat agar mama memahami perasaan aku setiap kali berdepan dengan Zafrul.

Belum sempat mencapai laptop , HP aku menjerit.Aku lihat nama yang tertera di skrin.Emir Asyraf Dato Maulana. Alaaa...mengapalah Emir menghubungi aku ketika ini.Silap-silap Emir akan mendapat tempias kemarahan aku nanti.Lalu aku berbohong sekali lagi.Aku memberitahu Emir aku hendak tidur kerana kurang sihat.Mujurlah Emir percaya dengan kebohongan aku.

Aku baca emel daripada kawan-kawanku.Aku jelajahi blog orang.Selepas itu aku masuk ke rumah DIA. Aku singgah sebentar di situ untuk membaca entri yang terpapar.Aku sedikit terhibur. Lantas aku mencari DIA kat YM.Setelah beberapa minit barulah DIA muncul.Aku segera memberi salam.Seperti selalu kepada DIA aku ceritakan segalanya.Kekadang aku rasa takut juga.Aku takut percaturan aku akan hancur.Aku takut hala tuju aku akan tersasar.Dan paling menakutkan aku takut aku akan terbelit dalam percaturanku untuk DIA.Aku akui sebenarnya DIA memang lelaki yang hebat.Walaupun aku belum pernah berjumpa dengannya tetapi aku boleh membaca perwatakannya setiap kali kami bersembang.Aku harap telahan aku tentang DIA tidak silap.

“Jom guna webcam”Permintaan DIA buat aku terkedu.Aku tidak bersedia untuk muncul di depannya.Lebih-lebih lagi dengan hanya berbaju tidur mana mungkin permintaannya aku tunaikan.Pelbagai alasan aku berikan. DIA sedikit gusar.Biarlah...aku tidak peduli.Akhirnya DIA mengalah dan kami sembang seperti selalu.Tapi DIA selitkan juga ketidakpuashatiannya terhadapku kerana webcam.

14 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (14)

Setelah menghilang hampir seminggu malam ini DIA muncul.Aku nekad untuk tidak menyapanya.Api kemarahanku masih membara.Aku takut nantinya aku akan membakarnya.Lalu aku segera offline.Buat sementara waktu biarlah aku lupakan seketika percaturanku buat DIA.Aku ingin mendamaikan jiwaku yang kusut dan fikiranku yang bercelaru.

Benar juga seperti kata kakak iparku.Orang lain gembira apabila disunting lelaki yang berkedudukan tinggi dan mempunyai masa depan yang cerah, tetapi aku sebaliknya.Semua yang mengucapkan tahniah kepadaku membisikkan betapa beruntungnya aku.Huh! Apa untungnya aku tak pasti.

Seperti selalu aku menyusuri Pantai Damai jika jiwaku haru-biru.Baru aku nak melangkah HP aku menjerit mendendangkan lagu”Matahariku”.Tanpa melihat terlebih dahulu nama pemanggil yang tertera, aku segera menekapkan HP aku ke telinga.Aku terdiam.Mengapa lelaki ini muncul di saat aku sedang mencari damaiku?Zafrul Hisyam,belum puaskah kau melukakan hatiku?Rupa-rupanya Zafrul telah mengetahui khabar tentang aku yang dirisik keluarga Emir.Katanya, mama yang memberitahunya.Mungkin kerana sakit hati atau berkecil hati,Zafrul telah melontarkan kata-kata yang amat melukakan hatiku.Aku gadis materialistik?Betulkah aku sebegitu?Benarkah aku memang memilih lelaki yang berpangkat dan berkedudukan sebagai calon suami?Berat sungguh tuduhan Zafrul kepadaku.Pantai Damai menjadi saksi airmata yang membasahi seraut wajahku.

Kala senja melabuhkan tirai malam aku mengatur langkah menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan. Selepas itu barulah aku menghalakan kereta ke pusat bandar.Aku perlu segera sampai di rumah jika tidak mahu mendengar ceramah percuma daripada mama.

DIA muncul lagi di YM.Mungkin kerana kemarahanku kepadanya sudah surut atau mungkin juga resah yang mendesak, akhirnya aku menegur DIA.Seperti selalu DIA memang cepat menjawab salamku. Mudahnya aku menceritakan segala yang berbuku di hatiku kepada DIA. Kepada DIA aku lantunkan keresahanku.Kepada DIA aku rembeskan gusar di hatiku.Dan DIA begitu bijak menenangkan aku.Memberikan pendapat dan mengutarakan pandangannya terhadap semua masalah yang menjeratku sejak dua menjak ini.Sedikit kekaguman terbit di dasar hatiku buat DIA.Kebijaksanaan DIA telah berjaya membawa aku keluar daripada masalahku pada malam itu.Malah aku sudah mampu ketawa apabila diusiknya.Akhirnya seperti selalu kami sembang di dunia maya tanpa sedar subuh memunculkan diri.

Bistro Cafe. Abang menelefonku supaya kami adik beradik berkumpul di situ selepas Isyak. Ada sedikit jamuan keluarga bersempena hari lahir mama. Memang seronok apabila kami sekelurga dapat berkumpul beramai-ramai. Melihat telatah anak-anak abang dan kakak membuat aku terhibur.Namun semuanya berakhir tatkala sejambak mawar kuning diletakkan di hadapanku.Setahu aku Zafrul Hisyam memang suka menghadiahi aku bunga mawar kuning sejak dulu lagi.Aku segera menoleh ke belakangku.Sangkaanku tepat dan benar belaka.Sebaris senyuman yang dihadiahinya tidak aku balas.Mama yang bijak membaca situasiku ketika itu segera mempersilakan Zafrul duduk.Rupa-rupanya mama yang menjemputnya menyertai majlis keluarga kami pada malam itu.

11 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (13)

Sebelum sempat aku menghantar Emir balik ke Hotel Merdeka Palace, abang telah memintaku membawa Emir berjumpanya di rumah. Mulut aku mengiyakan tetapi hatiku menjerit memprotes permintaan abang.Walaupun tidak ikhlas, aku bawa juga Emir ke rumah kami.Kedatangan Emir disambut gembira oleh seluruh ahli keluargaku.Abang yang nampak paling gembira. Saling bertukar cerita dengan Emir, persis dua orang sahabat lama yang baru berjumpa.

Mungkinkah hanya aku yang tidak tahu tujuan sebenar kedatangan Emir. Berita yang disampaikan oleh mama sebentar tadi amat mengejutkanku.Rupa-rupanya Emir bukan sekadar datang untuk menghadiri mesyuarat tetapi juga untuk melamarku.Mengikut kata mama, dua hari lagi keluarga Dato Maulana akan datang merisik secara rasmi.Aku hanya mampu diam tanpa berkata apa-apa.Aku tidak sanggup untuk berkata tidak kepada mama yang nampak sangat gembira dengan lamaran Emir.Abang pula sempat memeluk Emir sambil mengucapkan terima kasih.

Kegusaran yang merajai hatiku tak ada siapa yang tahu.Keresahan yang bertamu tak ada siapa yang fahami.Aku terkilan.Mengapa aku tidak diberi peluang untuk menentukan masa depanku sendiri.Sampai hati Emir merahsiakan semuanya daripadaku.Betapa beraninya Emir melamar aku daripada mama dan abang tanpa berbincang denganku terlebih dahulu.Airmata teman setiaku membanjiri tubir mataku.

Ketika ini aku amat perlukan seseorang untuk menenangkan aku.Lalu aku mencari DIA di dunia maya. Sedihnya,malam itu DIA tidak muncul.Aku menghantar SMS kepadanya.Namun selepas tiga SMS aku hantar,tetap saja tiada balasan.Hatiku bertambah sayu. Aku juga sedikit tertekan.Mengapa saat aku perlukan teman bicara, tak ada siapa yang menemaniku.

Aku nekad untuk berjumpa dan menyelesaikan semua yang berlaku dengan Emir sebelum papa dan mamanya datang merisik.Emir agak terkejut tatkala aku meluahkan ketidakpuashatian aku terhadap tindakannya itu.Walaubagaimanapun, Emir berusaha menyakinkan aku akan cintanya kepadaku.Menurut Emir, semua ahli keluarganya merestui dan menyokong pilihannya untuk menjadikan aku menantu sulung Dato Maulana.Pelbagai alasan aku berikan agar Emir membatalkan niat papa dan mamanya untuk merisikku.Namun semakin banyak alasan yang aku berikan semakin banyak juga jawapan yang Emir berikan untuk menepis alasan-alasan itu.Aku cuba juga untuk menghubungi DIA melalui telefon bimbit, namun hanya kehampaan yang aku dapat.Sudah tiga hari DIA menghilang tanpa jejak.

Kesungguhan Emir dan kesenyapan DIA akhirnya membuat aku akur akan ketentuan yang tercatat buatku.Ketika sebentuk cincin bermata berlian tersarung di jari manisku, aku menitiskan airmata.Aku menjadi sangat marah kepada DIA.Aku tak tahu mengapa tetapi aku amat sakit hati di atas kesenyapannya itu.Dan hari ini kesenyapan DIA telah membuat aku menjadi milik Emir Asyraf Dato Maulana walaupun dalam hatiku belum ada benih-benih cinta buatnya.Ketika melihat semua orang tersenyum gembira hatiku merintih sakit yang teramat perit.Tapi demi menjaga perasaan mama, aku cipta senyuman penuh kepalsuan untuk menyembunyikan luka di hatiku.Justeru, semua orang ingat aku bahagia dengan penyatuan itu walaupun belum rasmi sepenuhnya.

ANTARA CINTA DAN DUSTA (13)

Akhirnya penantianku berakhir juga. Permohonan aku untuk melanjutkan pelajaran di UPM telah berjaya. Aku akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Linguistik Bahasa dan Sastera. Aku amat gembira dan bersyukur kerana niatku untuk melanjutkan pelajaran yang selama ini terhalang oleh pelbagai masalah tercapai juga. Aku segera menghubungi DIA untuk berkongsi kegembiraanku.Aku pun tak pasti mengapa aku memilih DIA untuk berkongsi kegembiraan itu.Mungkin juga kerana DIA yang banyak memberi dorongan kepadaku untuk melanjutkan pelajaranku.

Aku sedikit kecewa tatkala aku mengkhabarkan berita itu kepada Emir, apabila dia buat selamba saja. Emir berpendapat sudah memadai dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Aku mengeluh kecewa menerima pandangannya. Betapa jauhnya perbezaan antara Emir dan DIA.Aku pujuk diriku untuk mengabaikan dan melupakan saja kata-kata Emir.Tambahan pula aku bukan sesiapa buat Emir.Emir juga bukan sesiapa buat aku.Jadi, aku peduli apa?

Seorang demi seorang nama pensyarah dan tutorku aku teliti.Mataku terpaku kepada nama tutor Kesusateraan Melayu. Encik Zulhadi bin Ishak. Seorang penulis yang terkenal di Sarawak.Seorang penggiat seni yang amat disegani.Punyai ramai peminat dan pengikut.Tidak terkecuali denganku.Aku meminati karya-karyanya sejak dulu lagi.Justeru aku berasa amat beruntung jika dapat berguru dengannya. Pastinya juga,aku tidak akan melepaskan peluang menuntut seberapa banyak ilmu daripadanya.

SMS yang aku terima membuat aku terkedu.Emir Asyraf Dato Maulana berada di Bandaraya Kuching.Dia meminta aku berjumpa dengannya di Hotel Merdeka Palace. Maka, selepas kelas hari itu aku segera menemuinya. Bukan kerana aku tak sabar untuk menemuinya, tetapi aku cuba mengelak untuk menemuinya pada waktu malam. Aku sangat yakin mama tidak akan membenarkan aku berjumpa Emir pada waktu malam apatah lagi di hotel.

Untuk seketika aku akui terpegun dengan ketampanan Emir Asyraf. Emir sememangnya bijak dalam penampilannya. Tak hairanlah jika ramai gadis yang mengintai anak sulung Dato Maulana ini. Aku membawa Emir makan tengah hari di sebuah restauran di Kampung Budaya Sarawak. Di situ suasananya agak santai.Jauh daripada kesibukan kota.Pemandangannya juga amat menarik.Pantai Damai dan Gunung Santubong memberikan pemandangan yang amat indah.Tambahan pula, Emir belum pernah masuk ke Kampung Budaya Sarawak.

Selepas menjamu selera dengan makanan tradisional Sarawak, aku membawa Emir meronda di sekitar kawasan Kampung Budaya Sarawak. Beberapa kali Emir menyatakan kekagumannya terhadap pelbagai jenis rumah yang mewakili setiap kaum etnik Sarawak yang ada di situ.Rumah orang Melanau dan orang Bidayuh amat menarik perhatiannya.Kami juga sempat menyaksikan persembahan kebudayaan dalam panggung teater di situ.

Keletihan mula menjalar meranapkan seluruh kekuatanku. Namun aku pertahankan juga demi Emir Asyraf Dato Maulana. Bukan kerana aku suka berdampingan dengannya tetapi aku sekadar mengikut ajaran dan pesanan mama.Tetamu mesti dilayan dengan baik.

10 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (12)

Hidup ini adalah perjalanan yang selalu dihadapkan dengan perkara-perkara yang di luar jangka.Kita hanya mampu membuat percaturan tetapi Allah jua penentu segalanya.Setelah lima tahun bergelar pendidik di Bandaraya Minyak ini, hari ini aku telah mendapat surat tawaran penempatan ke Bandaraya Kuching. Gembirakah aku?Sedihkah aku?Aku tak pasti.Yang aku tahu aku agak keliru.Jika aku menerima tawaran penempatan ini, bermakna aku akan kembali ke kota kelahiranku.Ianya juga bermakna aku harus bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

Berita pertukaranku sampai juga ke pengetahuan Emir Asyraf. Ternyata dia amat terkejut dan kurang senang dengan pertukaranku itu.Setelah meminta izin daripada mama,Emir mengajak aku keluar berjalan-jalan.Dalam keterpaksaan aku menerima pelawaannya.Dalam situasi sebegini aku tak mampu berfikir panjang.Aku juga tak sanggup untuk melukakan hatinya.Emir Asyraf terlalu baik buatku.Dalam pertemuan kami pada malam itu,kami lebih banyak membisu.Sebetulnya, aku akui aku agak kekok berdua dengan Emir Asyraf.

Semakin mendekat hari perpindahanku, aku semakin gelisah.Aku kian resah.Namun seperti kata DIA, walau apapun situasinya kita kena hadap juga rintangan yang merintang di hadapan kita.Akhirnya dengan mengumpul segala kekuatan, aku mengatur langkah meninggalkan Bandaraya Miri.Aku terkesima saat melihat Emir Asyraf menitiskan airmata saat kepergianku.Ternyata Emir Asyraf Dato Maulana sungguh-sungguh mencintai aku.Pada pertemuan terakhir dia telah memberikan hadiah yang tidak pernah aku jangka.Sebentuk cincin bermata unggu!

Agenda asalku tetap aku teruskan.Aku tak mahu terbuai dengan perasaanku terhadap Emir Asyraf sehingga lupa hutang yang belum langsai.DIA tidak boleh terlepas dari genggamanku sehingga agenda aku selesai.Maka, seperti selalu aku hubungi DIA melalui YM. Seperti selalu kami saling bertukar cerita dan sesekali diselitkan dengan gurauan.Dalam pada itu aku tak lupa menusuk DIA dengan penyerahanku agar DIA yakin aku semakin masuk ke lingkaran hidupnya.Aku percaya dan sangat percaya, DIA sememangnya merasakan aku memiliki rasa cinta terhadapnya.Justeru setiap kali DIA menyerang aku dengan keyakinan aku sudah jatuh cinta kepadanya,aku tersenyum bangga.

Hari pertama bergelar cikgu di Bandaraya Kuching, aku sudah dapat rasakan bahangnya. Aku telah diberikan beberapa jawatan utama dengan alasan aku mempunyai banyak pengalaman.Sebagai cikgu baru, aku hanya mampu berdiam diri dan menerima tugas yang diberikan dengan redha.Aku berpegang kepada prinsip buat yang terbaik dan termampu.

Sejak aku berpindah ke Bandaraya Kuching Emir semakin kerap menghubungiku.Alahai Emir,janganlah kau buat aku jatuh cinta kepadamu.Aku tak sanggup membuat hatimu terluka.Aku bukanlah gadis yang baik buatmu kerana dalam diriku penuh dengan perasaan dendam terhadap kaum Adam.Aku berusaha untuk menjarakkan hubunganku dengan Emir Asyraf.Pelbagai alasan aku berikan setiap kali, dia gagal menghubungiku.Saban waktu aku mendoakan agar dia bertemu dengan gadis yang baik dan mencintainya.

05 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (11)

Emir Asyraf...Tetiba saja lelaki ini menjadi semakin rapat denganku.Setiap hariku dihiasi dengan SMS daripadanya.Aku akui dia memang lelaki yang sangat hebat dan mampu mencairkan hati mana-mana wanita. Dia juga bijak mengambil hatiku.Kalau tidak memikirkan agenda asalku, pastinya aku telah menerima kehadirannya setulus hati dalam hidupku.Sesungguhnya luka ini masih berparut dan peritnya masih terasa.Kekadangnya aku berdoa agar Emir Asyraf tidak masuk ke dalam perangkapku.Aku tak sampai hati hendak melukakan hatinya kerana keluarganya terlalu baik dengan keluargaku.Eizanna pula adalah sahabat karibku yang setia menadah telinga dan memerah mindanya setiap kali aku ada masalah.

Suasana riuh di bilik guru menghairankan aku.Apa pulak berita sensasi awal-awal pagi?Ketika aku melangkah masuk ke dalam bilik guru semua mata tertumpu kepadaku.Aku sedikit gusar.Aku ada buat silap ke?Aku lihat Eizanna tersegih-sengih memandangku.Huhuhu..rupa-rupanya di atas meja aku ada sejambak bunga mawar merah hati yang masih segar.Rasa terhenti degup jantungku tatkala membaca kad comel berbentuk hati di tengah-tengah jambangan bunga itu.Alahai..Amir Asyraf, janganlah kau buat aku serba salah.Aku tidak bersedia untuk menerima lamaran cintamu lagi.

Setitis airmataku jatuh juga. Kenangan silam kembali menghantuiku.Lamaran cinta Emir Asyraf membuat hatiku sedikit terusik.Aku tidak sanggup untuk melukakan hatinya.Justeru aku takut untuk menerima cintanya.Aku tahu aku tidak mampu menjadi yang terbaik untuknya.Aku hanya akan melukakan hatinya.Itu aku yakin dan pasti.Namun buat sementara, aku perlu mendiamkan diri.Aku harus bijak menangani Emir Asyraf.

Malamnya. Emir Asyraf telah mengajak aku keluar.Aku sedikit kelam-kabut kerana bukan mudah untuk mama mengizinkan aku keluar malam.Akhirnya aku mencadangkan kepada Emir Asyraf untuk makan malam di rumah kami saja.Nasib baik Emir Asyraf faham situasiku setelah aku menerangkan tentang peraturan keluarga kami.

Aku lihat sepanjang berada di rumah kami pada malam itu, Emir Asyraf begitu bijak melayan kerenah ahli keluargaku.Abangku yang terkenal dengan keseriusannya pun nampak senang berbual dengan Emir Asyraf.Banyak perkara yang menjadi topik perbualan mereka pada malam itu.Aku gembira sebab aku tak payah melayan Emir Asyraf.Jujurnya aku belum bersedia untuk berbual berdua dengan Emir Asyraf.Hehehe.. aku takut kalau nantinya dia meminta jawapan kepada soalan yang dititipkannya pada jambangan bunga mawar siang tadi.

Selepas Emir Asyraf balik, aku segera mencapai laptop aku.Ada beberapa orang mangsaku di maya menghantar emel kepadaku.Semuanya bertanyakan soalan yang sama kerana aku semakin sukar untuk dihubungi.Aku melihat DIA muncul.Aku segera menyapanya seperti selalu di YM. Kekadangnya aku suka sembang dengan DIA kerana ada-ada saja perkara baru yang dikongsikannya denganku.Aku akui sudah banyak perkara baru yang akau pelajari daripadanya sejak perkenalan kami.

Seperti jangkaanku, Emir Asyraf menghubungiku setibanya dia di rumah.Inilah saat yang aku tak suka sebab aku tak ada jawapan lagi.Emir Asyraf menuntut jawapan kepada soalan titipannya.Untuk tidak menghampakan perasaannya, aku meminta sedikit masa lagi sebelum membuat keputusan.Alasanku, kepala aku pening sangat sepanjang hari.Hehehe..bohong sunat?

01 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (10)

Alhamdulillah..akhirnya aku telah siap dengan permohonan melanjutkan pelajaran secara PJJ di UPM. Semuanya atas dorongan DIA. Selepas mendengar semua khutbahnya, terbuka juga pintu hatiku untuk melanjutkan pelajaranku.Pastinya aku sangat berterima kasih kepada DIA kerana telah membakar semangatku untuk belajar. Sungguh pun demikian aku tidak akan melupakan agenda asalku terhadap DIA.Aku masih tidak percayakan orang lelaki.Aku dah kenal sangat dengan sikap orang lelaki.Pandai menyusun strategi mengurat.Bijak mengatur bicara untuk mengayat.Lembut lidah menabur janji.Akhirnya tak sampai ke mana pun.Derita juga yang ditinggalkan.

Semua rasa yang berbuku di hatiku, DIA tidak boleh tahu.Semuanya akan terus menjadi rahsia.Aku perlu membiarkan diriku menari mengikut rentak DIA.Biar DIA lena dengan permainan ini.Biar DIA terbuai dengan penyerahanku.Dan terpenting sekali, aku mahu DIA merasakan dirinya menang dengan penyerahanku.Di saat DIA tersenyum dengan kemenangannya, itulah permulaan aku menghancurkan DIA.Dan aku mahu semuanya selesai secepat mungkin.Sudah terlalu lama aku berada di laman DIA.Aku mahu segera keluar dari situ.

Aku menunggu DIA muncul kat YM.Di situlah medan pertemuan kami berdua hampir setiap malam.Aku tersenyum puas tatkala melihatnya muncul.Seperti biasa, ada-ada saja bahan perbualan antara kami.Malam itu agak istimewa sikit kerana DIA telah memberikan beberapa kata puitis kepadaku.Sepanjang malam aku dan DIA bertukar kata-kata puitis lalu membentuk sebuah sajak yang amat menarik.

menyepi membawa diri
hanyut dibuai mimpi
di alam realiti
sunyi dalam ketawa
seorang dalam ramai
mencari damai
menusuri denai
dalam renyai
akhirnya terbuai
berpaksikan damai
akhir pasrah dengan ketentuan
aku tewas
aku cuma picisan manusia
yang tidak tentu arah
mencari damai.

Aku tersenyum puas pada malam itu.Aku yakin DIA sudah merasakan perasaan aku telah berjaya diusiknya.DIA dengan beraninya memberitahu bahawa aku sudah semakin hampir dalam lingkaran hidupnya.Dalam kepura-puraan aku bertanya pada lingkaran yang mana satu aku berada ketika itu.Berkali-kali juga DIA meminta aku merendahkan ego aku.Aku sekadar memberikan janji suatu masa benteng keegoan aku akan punah juga.Hehehe..janji penuh kehipokritan.

24 June 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (9)

Apa aku nak beli?Aku buntu.Aku mati akal.Aku tak kenal dia.Aku tak pernah berjumpa dengannya.Alahaiii..takkanlah aku tak bawa apa-apa malam ini. Malu aku kalau Eizanna tanya, sedangkan awal-awal lagi dia dah bagitau tentang majlis malam ini.

Aku capai telefon bimbitku lalu aku hantar mesej kepada DIA. Aku harap DIA dapat memberi idea yang baik buat aku. Akhirnya DIA mencadangkan agar aku membeli sehelai sejadah.Aku setuju dengan idea DIA. Tanpa membuang masa aku segera ke pasaraya berdekatan. Tak sampai setengah jam, aku sudah temui apa yang aku cari.

Sejenak aku amati wajahku di cermin.Aku perbetulkan tudungku.Malam-malam macam ni aku malas mengecat muka aku.Payah nak cuci nanti.Aku sekadar sapu wajahku dengan bedak dan mencalit pewarna merah kat bibir.

Ketika aku mendekat banglo Dato Maulana,aku lihat sudah banyak kereta di situ.Suasananya juga nampak meriah.Aku menapak perlahan memasuki ruang tamu.Aku bukan tak biasa ke sini, cuma aku sedikit kekok apabila ramai tetamu yang sudah memenuhi ruang tamu itu.Aku yakin kebanyakan mereka ialah rakan perniagaan Dato Maulana.Mataku ligat mencari Eizanna.

Majlis pada malam itu merupakan kenduri doa selamat untuk anak Dato Maulana yang baru balik dari Kanada. Sekaligus majlis itu juga merupakan majlis hari jadinya.Emir Asyraf! Aku menyerahkan hadiah yang aku bawa kepada Eizanna.Huh! Eizanna menyuruh aku menyerahkannya sendiri kepada yang empunya.Aku akur walaupun kurang senang. Sesekali telingaku menangkap bisik-bisik sekumpulan gadis berdekatan.Rupa-rupanya mereka sedang menunggu kemunculan Emir Asyraf. Hebat ke Emir Asyraf? Tapi rasanya memang pun dia hebat.Anak Dato Maulana,lulusan luar negara lagi tu.Pasti ramai gadis yang mengintainya.

Akhirnya jejaka idaman Malaya itu muncul.Wow! Berbaju Melayu kelabu menyerlahkan ketampanannya.Badan yang sasa dan tinggi menampakkan karismanya.Silap-silap boleh cair dibuatnya.Dia melangkah mendekati aku dan Eizanna.Aku segera menyerahkan hadiah yang aku bawa kepadanya sambil mengucapkan selamat hari jadi.Aku tak pasti dia suka atau tak dengan hadiah itu.Yang penting aku dah buat apa yang sepatutnya. Beberapa orang gadis berasak-asak mendekati Emir.Geli hatiku melihat perlakuan mereka. Nampak sungguh mereka berminat dengan Emir.

Tepat jam 10.30 malam aku meminta izin untuk balik.Eizanna memujuk aku bermalam di rumah mereka.Datin Marziah turut memujukku.Aku menolak lembut dengan alasan ada kerja yang perlu aku selesaikan.Sebenarnya aku tak selesa nak bermalam di rumah orang.Itu sikap aku sejak azali lagi.

Sesuatu yang tidak aku jangka. Emir Asyraf mengajak Eizanna menemani aku balik. Sekali lagi aku menolak permintaan mereka.Tapi nampaknya Emir Asyraf Dato Maulana agak degil juga. Alasannya agak merbahaya aku balik sendirian waktu malam. Aku mengalah dan membiarkan mereka mengekoriku sehingga aku sampai ke rumah.

21 June 2012

Antara Cinta dan Dusta (8)

Resah.Aku benar-benar resah.DIA marah kepadaku.Aku tak pasti puncanya.Mungkin kerana dia mulai rimas dengan aku.Sepanjang hari ini aku memang sengaja menghantar pelbagai SMS kepadanya.Itu perancanganku.Aku mahu menguji keimanan DIA.Aku ingin mencuit hati kecilnya.Aku ingin membuatnya gelisah.Dan aku ingin membuat mindanya celaru.

Setiap kali SMS aku berbalas, aku tersenyum.Senyuman yang mengandungi agenda tersembunyi.Tetapi aku lupa DIA bukan sembarangan orang.DIA menghantar SMS yang menyentak naluri kewanitaanku.DIA ingin tahu apa yang aku harapkan daripada hubungan kami.Lidah aku kelu.Jemariku kaku.Aku tidak mampu menjawab pertanyaan DIA.Aku tak tahu.Sungguh!Aku tidak memiliki jawapan untuk semua persoalan itu.Tapi aku harus segera bertindak.Aku takut kebisuanku akan membuat DIA pergi dari hidupku.Jawapan harus aku dapatkan dengan segera.

Berbekalkan sedikit keyakinan aku balas SMS DIA.Aku perjelaskan aku ingin menjalin hubungan yang lebih akrab dengannya.Hipokritkah aku?Jauh di sudut hati hanya ada dendam yang perlu dilunasi.Aku tidak putus asa menghantar SMS berbaur pujukan kepada DIA. Kala itu aku merasakan harga diri aku sedikit tercalar.Aku dapat merasakan DIA sedang mentertawakan aku.Nampak sangat aku tidak sanggup kehilangannya.Biarlah! Biarlah apa yang DIA fikir.Aku tak kisah.Terpenting perancanganku tidak boleh gagal.DIA tidak boleh aku lepaskan.

Akhirnya DIA berjaya aku pujuk.Kami kembali berbalas SMS.Peliknya selepas itu hubungan aku dan DIA semakin intim.“Kita telah masuk ke fasa yang seterusnya.”Begitulah kata DIA kepadaku.Harapanku kembali berbunga.Senyum kembali menghiasi bibir.Aku gembira kerana DIA terus berada dalam percaturanku.

“You wanita yang sangat ego.Keegoan you membuat you sentiasa menutupi ruang you untuk menerima orang lain dalam hidup you.”Begitulah DIA selalu berkata kepadaku. Walaupun kurang senang dengan pernyataan DIA, tetapi aku akui juga.Aku memang sangat ego.Egoku melepasi puncak Everest.Andai saja orang tahu mengapa aku perlu pamerkan keegoanku.Andai saja DIA tahu keegoan itulah senjata aku agar tidak kecundang lagi.

Aku kira setelah aku kembali ke MIRI, Zafrul Hisyam tidak akan mengejarku lagi.Aku silap.Lelaki bernama Zafrul Hisyam rupanya tidak semudah itu hendak melepaskan aku.Dengan bantuan mama, pastinya bukan masalah untuknya mencari nombor telefon bimbitku.Hari ini dia menghubungiku.Tanpa aku pinta,dia menceritakan satu persatu masalah rumah tangganya kepadaku.Perkahwinannya satu kesilapan?Perkahwinannya tanpa cinta?Perkahwinannya satu kekeliruan?Mahu saja aku ketawa mendengarnya.Sangat mengejutkan apabila Zafrul mengakui perkahwinannya sentiasa dibayangi cintanya kepadaku.Dan sampai saat ini dia masih mencintaiku.Sepatutnya aku bersorak gembira mendengar pengakuan dia.Tetapi sebaliknya yang terjadi.Hatiku teramat sakit.Perasaan benci kian menghantui.Dendamku kian membara.

“Maafkan saya.Saya tidak berminat untuk mendengar kisah sedih awak.Dan saya tidak mencintai awak lagi.Cinta saya telah berkubur saat awak merobohkan pelamin anganku.Dan awak perlu ingat, tidak semua perkara di dalam dunia ini ada jalan kembali.Maafkan saya”Aku harap dengan mesej ini lelaki bernama Zafrul Hisyam tidak akan wujud lagi dalam hidupku.

ANTARA CINTA DAN DUSTA (7)

Licik! Zafrul Hisyam. Lelaki ini sememangnya licik.Sejak dulu hubungannya dengan mama memang agak rapat.Sebab itulah apabila pertunangan kami terputus mama lebih banyak menyalahkan aku. Hari ini dia bertandang lagi ke rumah kami.Kekadang aku tertanya-tanya juga, mengapa dia tak pernah membawa isterinya bersama. Mungkinkah dia takut aku akan mengamuk apabila melihat isterinya?

Aku capai kunci kereta dengan niat keluar rumah.Aku tak sanggup lebih lama di situ. Namun belum sempat aku melangkah keluar mama menegurku.Mama marah-marah kerana aku tidak melayan calon menantunya yang tidak kesampaian itu.Aku sedikit berkecil hati dengan cara mama. Mengapa mama seakan tidak mengerti dan memahami perasaanku.

Aku susuri Pantai Damai.Langkah diatur tanpa tujuan.Suasana di Pantai Damai agak lengang.Tidak ramai pengunjung yang bertandang.Mungkin kerana masing-masing masih sibuk menyambut Hari Raya.Deru ombak, lembut bayu menyapa gagal mendamaikan resah di hatiku.

Aku menjerit dan menjerit.Aku biarkan jeritanku bersatu dengan deru ombak.Aku sedikit lega.Itu kebiasaan aku apabila aku dilanda masalah.Aku akan menjerit sekuat-kuat hatiku untuk melepaskan resah dan tekanan yang bersarang.

Senja berlabuh.Suara azan berkumandang.Aku perlu cepat sampai ke rumah kerana tidak mahu terlewat menunaikan solat Maghrib.Aku takut kemurkaan Allah.Dan aku tidak sanggup andainya Allah berpaling dariku.Pastinya aku akan kehilangan segala-galanya tanpa keberkatan dariNYA.

Selepas menunaikan solat Isyak, aku capai laptop kesayanganku.Di dalam laptop aku inilah tersimpan seribu satu rahsia tentang aku.Belum sempat aku membaca emel yang dikirimkan oleh kawan-kawanku, mama masuk dan duduk di sebelahku dan memandangku dengan pandangan yang aneh. Sekelipan aku merenung mama.Mama hulurkan sekeping foto kepadaku.Aku terkedu.DIA! Bagaimana mama boleh terjumpa foto itu.Mama berkeras untuk mengetahui hubunganku dengan DIA. Aku tidak mampu untuk menjawab soalan-soalan mama.Sebenarnya aku pun tidak tahu bagaimana aku nak mentafsirkan hubunganku dengan DIA.Kawan?Musuh? Apa yang pasti DIA adalah sasaran dendam aku yang seterusnya.Tetapi dalam waktu yang sama aku mula merasakan kehadiran DIA adalah sebagai sahabat tempat aku luahkan segala keresahanku.

Daripada mama, akhirnya aku mengetahui bahawa Zafrul Hisyam tidak tinggal sebumbung dengan isterinya lagi.Kononnya, perkahwinan mereka adalah satu kesilapan.Hampir tergelak aku mendengarnya.Kesilapan? Kesilapan apa?Mengapa baru sekarang Zafrul merasakan perkahwinannya itu satu kesilapan? Di akhir ceritanya mama mendesak aku untuk menemui Zafrul.Tidak baik menghampakan hasrat orang.Itu kata mama.Mama..mama..cubalah untuk seketika mama melihat ke dalam diri anaknya ini yang menjadi mangsa HAMPA.Lupakah mama akan anaknya yang terlantar selama tiga bulan di hospital?Lupakah mama cadar pengantin anaknya yang bertukar menjadi kain yang setia menadah airmata anaknya setiap malam. Dan lupakah mama kerana lelaki bernama Zafrul Hisyam, anaknya menjadi seorang pendendam?Sampai hati mama lupa semuanya...

20 June 2012

Antara Cinta dan Dusta(6)

Benar seperti kata orang, semakin kita menghindarinya semakin ianya mendekati kita.Setiap kali hendak keluar rumah aku panjatkan doa agar aku tidak terserempak dengan insan-insan yang telah melukakan hatiku.Aku belum bersedia untuk menghadapinya.Tapi ketentuan Allah, kita tak mampu hendak menangkisnya.Apapun situasinya, bersedia atau tidak kena hadap juga.

Pertemuan yang singkat itu seakan merobek parut di hati. Lukaku kembali terasa peritnya.Mudahnya dia melafazkan kata maaf kepadaku. Apakah semudah itu juga aku akan memaafinya?Kalau semalam aku terserempak dengannya di kompleks membeli-belah, hari ini dia bertandang ke rumah kami.Alasannya datang berziarah.Maklumlah Hari Raya.Mama masih melayannya dengan baik sekali.Sakit hatiku melihat renungan matanya.Pedih hatiku mendengar suaranya.Ingin saja aku membalingkan gelas-gelas di atas meja kepadanya.

Ketika itu juga, aku mencapai telefon bimbitku dan menghubungi DIA. Aku tak tahu kenapa tergerak hatiku untuk menghubungi DIA. Kepada DIA aku luahkan dan ceritakan apa yang berlaku ketika itu.Seperti selalu DIA menitipkan aku pelbagai kata nasihat dan motivasi.Mama sedikit gusar dengan aku kerana ketika tetamu ada di rumah aku sibuk sembang di telefon.Alahai mama, ketahuilah anakmu ini saja nak lari daripada tetamu yang tidak diundang itu.Melihat aku yang tidak mempedulikan tetamu tidak diundang itu, mama memanggilku dan bertanya aku sedang bersembang dengan siapa.Hehehe..aku dengan spontannya menjawab, “Bakal menantu mama...,”Hehehe..kalaulah DIA tahu mau aku dicekik-cekiknya.Aku saja berkata begitu kerana sakit hatiku melihat tetamu yang tidak diundang yang entah bila baru nak balik.

Malamnya mama masuk ke bilikku.Aku tahu aku akan mendapat soalan cepumas daripada mama.Mama nak tahu lebih lanjut tentang bakal menantunya.Aku mati akal.Apa aku nak jawab.Aku sendiri pun tak tahu siapa bakal menantu mama.Pelbagai alasan aku berikan kepada mama agar dia tidak terus mendesakku dengan soalan-soalan cepumasnya.Rasa bersalah bersarang di sudut hati kerana telah membohongi mama.

Sebelum tidur ,aku mencapai diariku lalu aku catatkan semua yang berlaku pada hari itu.Hehehe..aku tersenyum sendiri melihat foto DIA dalam kad ucapan selamat Hari Rayanya kepadaku yang telah aku cetak.Dalam hatiku berbisik, “Nasib kaulah...menjadi kambing hitam aku hari ini.”

Baru saja aku nak lelapkan mata, aku mendapat panggilan telefon daripada insan yang amat aku benci. Aku tidak tahu dari mana dia mendapat nombor telefon bimbitku.Mengapa dia menelefonku?Apa tujuannya?Sungguh! Aku tidak faham. Dia merayu untuk berjumpa denganku.Ada sesuatu nak diperjelaskan!Itu menurutnya.Sakit hatiku apabila dia berkata sebegitu.Mengapa baru sekarang nak memberi penjelasan.Kenapa tidak dulu,ketika aku benar-benar inginkan penjelasannya?Tanpa memberikan kata putus aku segera memutuskan talian.Aku tarik selimut menutup wajahku.Aku cuba pejamkan mata.Aku cuba membuang jauh-jauh bayangannya dari ingatanku.Aku tak rela wajahnya bertandang ketika ini.Sedihnya, aku gagal melakukannya.Lalu seperti selalunya airmataku menitis lagi.

19 June 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (5)

Sesungguhnya perjalanan hidup ini amatlah unik.Kita tak tahu apa yang mendepani dan apa yang direncanakan buat kita.Sehebat mana pun kita,kita tidak akan dapat meneka takdir hidup kita. Sekuat mana pun kita, kita tak akan mampu melawan kehendak takdir.Sebaik mana pun perancangan kita, jika tiada keizinanNYA tidak akan menjadi juga.Begitu juga hal yang terjadi kepadaku.

Percaturanku sedikit tersasar.Semuanya berlaku dengan berita yang baru saja dikhabarkan mama kepadaku.Kami sekeluarga akan balik ke Kuching menjelang Hari Raya Aidilfitri. Setelah sekian lama, mengapa perlu balik ke Kuching?Ada bisikan halus di hati kecilku kurang menyenangi berita yang mama sampaikan. Walaupun begitu, aku hanya mampu berdiam diri kerana aku tidak mahu meluka dan mengecewakan niat mama dan keluarga.Dalam hatiku ketika itu hanya Allah yang mengetahuinya.

Sungguh! Aku tidak sanggup untuk bertemu dengannya.Dia lelaki yang merobohkan pelamin cintaku sebelum bersanding.Dia lelaki yang mengajar aku erti cinta dan kemudian mengkhianatinya.Dia yang menyemai benih-benih kebencianku terhadap kaum Adam.Dan dia yang menjadikan aku seorang pendendam.Dialah lelaki yang pernah bertakhta di hatiku dan sempat bergelar tunanganku tetapi memutuskan ikatan suci itu kala aku riang menghitung hari menjadi suri hidupnya.

Malam itu seperti biasa, aku dan DIA sembang di YM. Entah mengapa begitu mudah untuk aku ceritakan kepada DIA apa yang bermain di fikiranku. Aku ceritakan juga kegelisahan hatiku.DIA pula begitu setia mendengar ceritaku. Sesekali DIA menitipkan kata nasihat buatku.Gurauan, usikan dan nasihat DIA pada malam itu sedikit sebanyak berjaya menenangkan aku.Untuk seketika aku lupa kepada masalahku.Walaupun aku amat menghargai apa yang DIA lakukan untukku pada malam itu, tetapi jauh di sudut hatiku dendam itu tetap ada.

“Sedap! Secukup rasa..”Itulah ungkapan DIA kepadaku tatkala aku memberitahu namaku. Aku sengaja membiarkan DIA mengetahui namaku dengan harapan DIA akan semakin mendekati perangkapku.

Akhirnya kami sekeluarga telah sampai ke Bandaraya Kuching.Semuanya gembira kerana dapat berjumpa dengan sanak-saudara dan akan menyambut Hari Raya bersama-sama.Rasanya sudah beberapa tahun kami tidak meraikannya bersama sejak peristiwa yang tragis itu.Hanya aku yang serba tak kena.Aku takut akan bertemu lagi dengan insan yang telah menghancurkan seluruh hidupku.Dan aku belum bersedia berdepan dengan sahabat karibku yang tegal mengkhianati aku.Kemaafan itu belum mampu aku berikan kepada mereka.Aku tahu ramai yang akan berkata," yang berlalu itu biarlah berlalu.Sedangkan Nabi lagi ampunkan umatnya,apatah lagi kita manusia yang banyak kelemahan"Aku akui semua pernyataan itu memang benar, tetapi selagi keikhlasan tidak ada beserta kata maaf yang akan aku berikan tidak ada gunanya juga.Jadi biarlah segalanya terbuku bersama dendam yang membara.

Sejak kembali ke Kuching, aku semakin kerap berhubung dengan DIA. Setiap kali sembang dengan DIA pastinya ada saja bahan perbualan kami.Jangan terkejut kalau aku katakan kami sering sembang sehingga subuh.DIA memang bijak untuk menarik orang untuk terus berbual dengannya.Dalam kekaguman aku terhadapnya, aku menyimpan niat untuk mencari kelemahannya.Walaupun DIA sering mempamerkan kejujuran dan keprihatinannya terhadap aku tetapi masih ada benteng yang aku letakkan di antara kami. “ Ego you sangat tinggi.”Itulah kata-kata yang sering DIA lemparkan kepadaku.Aku tidak kisah sebab memang ada kebenarannya.

18 June 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (4)

“Mudah...Ketepikan Ego..” Tajuk pada entri ini begitu menarik perhatianku.Aku berniat berhenti sejenak di laman DIA. Sememangnya entri DIA berkaitan dengan tajuk itu amat aku senangi. Aku mula jelajahi rumah DIA. Satu persatu aku baca apa yang dipaparkannya. Tanpa sedar, aku telah meluangkan masa aku sampai jam satu pagi di situ.Untuk seketika terdetik di mindaku “Hebat DIA ni..”Hampir semua entri DIA amat menyanjungi kaum wanita. Aku mula mencari profil DIA. Kalau mulanya aku mengaguminya,tetapi apabila aku terlihat nombor telefon bimbit yang tertera di situ aku agak kecewa. “Dasar lelaki...”itu yang terluah olehku tanpa sedar.

Sebelum keluar dari rumah DIA, aku mencatat nombor telefon bimbitnya. Aku mempunyai agenda tersembunyi. Awal-awal pagi lagi aku telah menghantar sebaris ayat yang ringkas kepada DIA iaitu “TAHNIAH! Mudah..Ketepikan Ego..sangat menarik”.Sebetulnya ketika itu aku tidak mengharapkan DIA akan membalas mesej aku itu.Aku sekadar mahu menduga.Sejurus selepas itu,aku telefon bimbitku menjerit memberitahu ada mesej yang masuk.Aku tersenyum memandang skrin telefon bimbitku.DIA telah membalas mesej aku.Aku mula membayangkan DIA akan menjadi mangsa aku yang seterusnya. Mesejnya segera aku balas.Maka, sepanjang hari itu AKU dan DIA saling berbalas mesej.Mengalahkan orang bercinta!

Walaupun hubungan kami berlanjutan lebih seminggu , namun DIA belum tahu nama sebenar aku. Aku tidak berniat untuk memberitahu namaku.Pelbagai alasan aku berikan setiap kali DIA bertanya tentang namaku.Sebagai penyedap hatinya, aku memberitahu DIA kalau nak tahu namaku tunggu sehingga mesej yang keseratus.

Suatu hari, DIA menelefon aku.Aku mula merasakan DIA ini bukan sembarangan.Aku kena berhati-hati.Kali pertama panggilannya tidak aku jawab.DIA sememangnya bijak.Melihat aku tidak menjawab panggilannya, dia menghantar mesej kepadaku.DIA bertanya, “Takut ke?” Aku rasa tercabar dengan mesej DIA. Tidak lama selepas itu, DIA menelefonku lagi.Dengan lafaz bismillah, aku pun menjawab panggilan DIA.Alahai, DIA memang bijak berkata-kata dan pandai menarik aku untuk terus bersembang dengannya. Tanpa sedar, kami telah bersembang untuk jangka waktu yang agak lama.Kesian DIA.DIA tidak tahu apa yang ada di fikiranku.Aku tersenyum puas memikirkan DIA akan kehabisan kredit telefon bimbitnya.Aku puas kerana DIA semakin menghampiri perangkapku.

Cukup mesej yang keseratus, bermakna aku harus menepati janjiku kepada DIA.Hubungan kami ketika itu sudah masuk ke fasa yang seterusnya.Kami bukan setakat sembang melalui telefon saja, malah ‘Yahoo Messenger’ sudah menjadi perantara kami berdua. Malam itu aku telah menunaikan janjiku kepada DIA.Tetapi bukan mudah bagiku untuk memberitahunya namaku.Maka aku sekadar memberinya semua abjad yang terdapat dalam namaku.Aku mencabar DIA menyusunnya jika mahu tahu namaku.Hehehe..DIA telah memberikan pelbagai nama kepadaku.Seperti jangkaanku, DIA tidak akan mampu menyusun namaku dengan tepat.Hehehe..MIAAMASSHH....macam mana nak susun ek?

ANTARA CINTA DAN DUSTA (3)


Rentetan daripada peristiwa itu, aku telah membuat percaturan yang tak ada seorang pun yang tahu. Aku bangkit dengan penampilan yang baru.Aku bukan lagi gadis berbaju kurung,tetapi aku bangkit dengan penampilan ala-ala korporat.Aku juga berkesempatan mengikuti kursus penampilan diri dan cara-cara berkomunikasi. Dengan kedudukan keluargaku,bukannya susah untukku menarik perhatian kaum Adam.Dengan kedudukan aku sebagai Pemidato Sarawak, ramai yang mengintai untuk mengenali aku lebih dekat.Maka,aku tidak meletakkan sebarang benteng untuk orang mengenali dan mendekatiku.

Percaturanku menepati perancanganku.Aku mula menjalin hubungan dengan sesiapa saja yang mendekatiku.Walaupun begitu,aku tetap memastikan aku tidak tersasar dari landasan agama.Justeru, kaum Adam yang menganggap aku sebagai teman wanita mereka ada yang bersungut kerana aku payah diajak keluar apatah lagi pada waktu malam. Aku lebih senang berhubung dengan mereka melalui telefon bimbit. Aku tak peduli kalau ada yang kurang senang dengan cara aku melayan mereka.Bagi aku,kalau mereka tak suka mereka boleh blahh..Dalam masa yang singkat aku telah melukakan hati beberapa orang kaum Adam.Aku berasa puas setiap kali aku berjaya melukakan hati mereka.Betapa kejamnya aku ketika itu.

Zahirnya, begitulah yang orang nampak tentang aku.Barangkali kaum Hawa juga jengkel dengan sikapku. Hanya satu yang orang tak tahu tentang aku. Kawan-kawanku tak tahu.Keluargaku juga tak tahu.Siangku nampak ceria tetapi kala malam, airmata menemaniku.Aku hanya mampu luahkan semua kesakitanku dia dalam diari.

Benar kata orang,biasanya naluri seorang ibu dapat mengesan setiap perkara yang dilakukan oleh anaknya.Mama mula mencurigai aku.Rupa-rupanya mama tahu aku menjalin hubungan dengan beberapa orang kaum Adam.Mama menjadi sangat risau. Sedaya upaya aku cuba menenangkan mama kerana aku tidak mahu perancanganku gagal.Aku berusaha yakinkan mama bahawa hubungan aku dengan mereka semua sebatas kawan sahaja.Oleh sebab aku tidak mahu mama risau, maka aku tidak lagi melayan kaum Adam yang ingin menjalin hubungan denganku.

Tetapi luka hatiku tidak semudah itu untuk sembuh.Dendam yang membara tidak akan padam dengan sebegitu mudah.Aku mula mengatur strategi baru.Aku jelajahi dunia maya. Setiap malam aku menjengok blog blogger Malaysia dan negara-negara lain.Aku intai apa yang dipaparkan oleh mereka.Aku baca apa yang mereka tulis untuk tatapan umum.Kebanyakan entri mereka membuat aku tersenyum sendiri.Senyumku bukan kerana aku suka dengan entri mereka tetap,i aku bagaikan nampak kehipokritan yang bertenggek pada setiap entri itu.

Suatu malam aku telah menjelajah masuk ke Blog Guru Malaysia. Aku tertarik masuk ke situ kerana aku berharap aku akan mendapat sesuatu di situ.Aku harap aku akan dapat ilmu untuk memperlengkapkan diriku sebagai guru di situ.Aku amati dan aku teliti nama-nama guru yang terpapar di situ.Tanpa berfikir panjang aku klik pada nama yang bermula dengan abjad ‘A’.

17 June 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (2)

Setahun selepas kejadian itu, aku sudah kembali pulih seperti biasa.Sudah ada senyuman menghiasi bibir.Sudah ada tawa menghiasi laman waktuku.Sudah pastinya keluarga dan kawan-kawan sangat gembira melihat aku yang sudah keluar daripada penjara kelukaan.

Namun, sejauh manakah aku mampu melupakan semua kesakitan dan kelukaanku itu,hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Orang kata Allah hanya akan menguji hamba-hambanya seusai dengan kemampuan hamba-hambanya menangani dugaan diberi.Akhirnya, aku diuji sekali lagi.Tapi kali ini berlainan situasinya.Kekentalan jiwaku diuji dengan meletakkan aku sebagai penonton kepada sandiwara kehidupan yang amat tragis.Mungkin Allah nak melihat sejauh mana aku menyimpan dendamku terhadap kaum Adam.

Aku telah menyaksikan bagaimana seorang isteri yang sedang mengandung lapan bulan ditinggalkan oleh suaminya bersama dua orang anak kecilnya. Kehidupan mereka anak-beranak amatlah daif.Maklumlah,suami pergi entah ke mana dan tanpa memberikan nafkah buat dirinya dan anak-anak.Keadaan dirinya tidak memungkinkannya untuk bekerja.Bukan mudah nak mendapat pekerjaan tanpa segulung ijazah di tangan.Apatah lagi dalam keadaan dirinya yang sarat mengandung, pastinya tak ada yang berani menggajinya. Naluri kewanitaanku amat tersentuh setiap kali anak-anaknya bertanya tentang ayah mereka.

Dia pula hanya mampu mereka-reka pelbagai cerita untuk menyedapkan hati anak-anaknya.Kononnya,siayah bekerja di tempat yang jauh untuk mendapatkan wang yang banyak.Hampir setiap hari aku dan kawanku,menjengok mereka anak-beranak dan menghulur bantuan setakat yang mampu.Aku berasa puas dan gembira kerana bantuan yang sedikit itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebannya. Pada suatu petang menjelangnya Hari Raya, aku dikejutkan dengan satu berita yang membuat airmataku menitis.Siayah yang menghilangkan diri, rupa-rupanya telah berkahwin lagi tanpa izin dan pengetahuan isterinya.

Anak-anaknya yang tidak mengerti apa-apa memberitahuku bahawa ayah mereka akan balik sekejap lagi.Justeru,mereka dua beradik duduk di luar rumah menunggu kepulangan ayah mereka.Aku lihat siibu pula bagaikan mayat hidup dengan pandangan kosong.Tiada lagi airmata bergenang di pipinya.Mungkin telah kering airmatanya yang sekian lama menemaninya sejak kepergian suaminya. Saat takbir raya berkumandang, tanpa sedar aku mengalirkan airmata.Hatiku sebak.Jiwaku luluh.

Peristiwa setahun lalu tetiba kembali bermain diingatan. Diselang-seli lagi dengan apa yang dipaparkan di depan mataku, satu perasaan yang amat menyakitkan muncul dalam ruang rasaku.Dendam dan amarah yang sekian lama menghuni kamar hati,mula membara.Sakit hatiku setiap kali mendengar anak-anak itu bertanya tentang ayah mereka yang tetap tidak muncul walaupun takbir sudah berakhir,hanya Allah yang tahu.

Sesuatu yang pasti bermain difikiranku ketika itu ialah LELAKI TETAP LELAKI..SEMUANYA SAMA...EGO DAN KEJAM.

ANTARA CINTA DAN DUSTA..(1)

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
     Sekelipan aku tak  tahu bagaimana nak memulakannya.Bukan mudah kita nak menceritakan kisah hidup kita kepada orang.Silap-silap orang akan kata aku ni, membuka pekung di dada sendiri.Biarlah, aku tak kisah.Orang boleh kata apa saja tentang aku,aku tak kisah sebabnya AKU ADALAH AKU.Apa yang aku nak paparkan di sini, aku harap ianya akan membuka minda kita semua tentang rencamnya perjalanan hidup ini,tentang nilai kemanusiaan dan yang terpenting tentang hebatnya KEKUASAAN ILLAHI.
      Zaman remaja aku tidak banyak bezanya dengan remaja-remaja yang lain.Hidup dalam lingkungkan keluarga yang agak mewah sudah semestinya menjadikan aku antara remaja yang hanya tahu tentang keseronokan. Aku gembira dan amat bersyukur kerana aku tak pernah mengenal erti kesusahan dalam hidupku.Semua keperluanku mencukupi dan kekadangnya ia mengundang rasa cemburu kawan-kawanku.Walaupun hidup dalam keluarga yang berada namun, kami adik beradik tetap dididik berlandaskan hukum agama yang agak ketat.
            Putaran kehidupan tak ada siapa yang tahu.Hari ini kita gembira, esok pula mungkin kita akan bersedih.Hari ini kita bahagia,esok pula mungkin kita menderita.Hari ini kita senang, esok pula mungkin kita akan susah.Semua itu adalah dugaan kehidupan yang akan dilalui oleh setiap insan. Aku juga tidak terkecuali menerima dugaan itu.
            Hidup aku berubah selepas aku bergelar tunangan orang.Bahagianya hidup aku ketika itu tak mampu aku ungkapi dengan kata-kata.Maklumlah bertunang dengan insan yang amat aku cintai dan juga mencintai aku sejak lima tahun yang lalu.Silapnya ketika itu aku ditugaskan di sebuah sekolah di pedalaman Kapit sedangkan tunang aku pula bertugas di Bandaraya Kuching.Bercinta dari kejauhan ini rupanya menjadi punca bermulanya ketragisan dalam hidupku.Cinta yang nampak begitu sempurna antara kami goyah juga akhirnya.
            Hati mana tidak terluka tatkala hati berlagu riang menghitung hari akan diijabkabulkan dengan insan tercinta punah begitu saja.Gadis mana tidak malu ketika dia sibuk mempersiapkan keperluan majlis perkahwinannya diberitahu pertunangannya telah diputuskan.Aku tidak akan melupakan saat aku kembali ke Kuching untuk majlis perkahwinanku.Aku begitu gembira menunjukkan kepada keluargaku akan cadar dan perhiasan bilik pengantinku yang aku beli.Mama hanya menitiskan airmata ketika aku mengeluarkan cadar aku yang berwarna kuning muda.Kakak lantas memelukku dan menangis.Aku kehairanan juga tetapi aku beranggapan mungkin mama dan kakak menangis kerana aku akan menjadi milik mutlak insan bergelar suami dalam tempoh beberapa minggu lagi.Akhirnya semua persoalan terjawab,dan hanya airmata membasahi cadar yang masih dalam genggamanku.Rupanya, pertunangan aku telah diputuskan dan tunangku telah berkahwin dengan gadis lain.Luka hatiku bertambah parah kerana gadis yang dikahwininya itu ialah sahabat karibku sendiri.
            Sungguh aku tak faham mengapa semuanya jadi begini?Apa salah aku?Mengapa sahabat karibku sanggup mengkhianati aku?Aku tidak mempunyai jawapan kepada semua persoalan itu.Semua yang berlaku memberikan tekanan yang amat hebat buatku sehingga aku terlantar selama 3 bulan di hospital.
            Bermula dari saat itu, aku memnyimpan dendam yang amat mendalam dalam diriku. Aku hilang kepercayaan kepada orang lelaki.Aku mula membina benteng keegoan,dalam hidupku.Ketika itu juga hatiku menjadi sedingin salju. Aku memandang sepi lelaki-lelaki di sekelilingku.Perasaan kasih,perasaan sayangku hilang entah kemana.Yang bertakhta di hati hanya gumpalan dendam yang membara.


06 June 2012

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

Mia Ariesya..
Buah cinta
mama dan papa
hadirnya seketika cuma
layu sebelum mekar.
Mia Ariesya...
Salahnya siapa?
Silapnya mana?
Soalnya mengapa?
Lahirmu tanpa kasih
Pergimu tanpa sayang.
Mia Ariesya..
Sikecil tanpa dosa
Berkorban demi
bonda tercinta
yang kaku di pembaringan.
Mia Ariesya..
Luka hatimu
Pastinya perit
Melihat derita sang bonda
Meratapi cinta kecundang..
Melihat rakusnya sang ayah
Membina bahagia
Di atas kemusnahan sang bonda...
Pergilah Mia Ariesya..
Pergilah...
Sekejap lagi pasti mama
Menyusur jejakmu
Damailah dirimu di sana
Menanti kedatangan mama...

14 April 2012

wings semalam yang hangat lirik



:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::