05 May 2009

Sajak Hukum Cinta...bersama Zulkarnain Farihin Mustakim

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

..asha..

Langkah terhentis
aat melihatmu
berdiri di persimpangan
dengan mata berkaca.
Mati kata-kataku
saat kau merenung
melewati dasar hatiku
hati terdetik pilu.
Bergetar mahkota rasa
saat kau genggam jemariku
dan tanpa sedarku aturkan langkah
meneruskan perjalanan
kerana aku tak mampu
mengutip kembali
retak kasih
dia atas puing-puing cinta
yang telah kau hancurkan

....Zulkarnain Farihin...

mengapa langkahmu terhenti wahai dewi
saat kau melihatku sedang mengirai sayap di bawah terik mentari
ku lihat matamu berkaca sejernih menara
kau renungi diriku dengan penuh sayu dan rindu yang sarat
tapi sayang renunganmu tidak sampai ke dasar hatiku
tika dan saat ini
andai kau tanyakan pada hati
hati dengan rela membiarkanmu pergi
pergilah keceruk mana kau langkahkan kaki
dan jangan kembali
kerana kalau kau kembali lagi
bumi tempat kuberpijak ini
telah bertukar menjadi debu
yang berterbangan di bawa angin lalu

...asha...

Ya Allah..
aku mohon petunjukMU
aku mohon kekuatanMU
untuk aku menentukan segalanya.
saat kaki mengajakku pergi
terasa langkahku payah
sendu wajahnya menjerat rasaku
redup matanya memerangkap jiwaku
hingga aku kian keliru
atas keputusan ini.
Ya Allah..
andai saja dia untukku
tunjuki aku kebenarannya
berilah aku lohong dan lorong
permudahkan aku
mendakap impiannya
bersatu dalam impianku.

...Zulkarnain Farihin....
Dengan nama Allah,
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ya Allah...
Seandainya telah Engkau catatkan,
Dia milikku tercipta buatku,
Satukanlah hatinya dengan hatiku,
Titipkanlah kebahagiaan antara kami,
Agar kemesraan itu abadi ...
Ya Allah...
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi,
Seiringkanlah kami melayari hidup ini,
Ketepian yang sejahtera dan abadi,
Maka jodohkanlah kami...
Tetapi Ya Allah...
Seandainya telah
Engkau takdirkan,
Dia bukan milikku,
Bawalah dia jauh dari pandanganku,
Luputkanlah dia dari ingatanku,
Dan peliharalah aku dari kekecewaan

.....asha...

sayangnya...
harapan yang selama ini kubawa
hancur berkecai musnah jua akhirnya
semuanya bagaikan sebuah mimpi
kau pergi jua
setelah cintaku kinimembara
belum sempat kucurahkan kasihku
kau pergi tak kembali.
apakah itu juga
antara HUKUM CINTA?

....Zulkarnain Farihin..

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?
Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng menutup rahsia
tetapi hati tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya
Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan
Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki

...asha..

Terhenti lamunanku
saat menatap madah tersingkap
MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI
nampak perit tapi itulah hakikat
harus diakui walaupun hati berdegil
enggan mengiyakannya.
Kata-kata mati dihalkum
ingin memohon jawapan
Apakah ini hukum cinta
bercinta sekadar bercinta
tapi tidak untuk memiliki?

..Zulkarnain Farihin...

Dakwalah aku di mahkamah cintamu
sediakan hakim bijak berilmu
supaya kau boleh menghukum aku
untuk melempiaskan dendam kesumatmu
yang tidak pernah layu dimamah waktu
Dakwalah aku di mahkamah cintamu
sediakan peguam petah berhujah
supaya aku boleh kau kalah
untuk melempiaskan amarahmu yang bernanah
yang tidak pernah sembuh-sembuh
sejak jiwamu luluh
jika perlu
gantunglah akudengan tali dendammu
jika perlu
kau sebatlah aku
dengan cemeti amarahmu
andai itu Hukum Cintamu

....asha..

Aku bukan berdendam
aku juga bukan
melampiaskan amarahku
dan aku tak perlu
mendakwamu yang tewas
dalam hukum cintamu sendiri
aku cuma terkesima
akan kebodohanku berpaut
pada dahan yang rapuh
hingga aku tersungkur derita
dalam perjalanan ini.
Untuk menghukumu
aku tak mampu
untuk melampiaskan amarah kepadamu
aku tak sanggup
untuk mencemetimu
aku tak larat
kerana aku
aku tak pernah ada hak
ke atas dirimu.

...Zulkarnain farihin..

Pesalah cinta ini haruskan kau benci
wajarkah kau sakiti
untuk kepuasan hati
demi kepuasan diri
kepentingan peribadi
Pesalah cinta ini
haruskah dipagari dengan pagar berduri
disebat lumat dengan cemeti
dikurung dalam sangkar besi
hanya kerana dia melukai
menodai janji-janji
mengkhianati cinta suci
pesalah cinta ini
tidak akan berhenti melakukan kesalahan
kerana cinta baginya permainan
ibarat bola dilantun ditentang demi kepuasan
tiada penyesalan
kerana hatinya sudah kental
dengan pelbagai dugaan dan cabaran

No comments:

Post a Comment