03 December 2009

Sesalan di Penghujung Rindu...8

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
Resahnya Fariq menahan gelisah. Sudah beberapa hari dia tidak melihat Arisya. Walaupun hanya seminggu menjadi pengiringnya,namun kehadiran Arisya telah berbekas di hatinya. Fariq akui Arisya memiliki daya tarikan yang amat tinggi. Tutur kata Arisya.Perwatakan Arisya.
Penampilan Arisya.Ah! Dengan erti kata yang lain semua yang ada pada Arisya dengan mudah akan memukau sesiapa saja yang berdampingan dengannya. Fariq menepuk dahinya berkali-kali sambil tersenyum. Tersenyum kerana dirinya bagaikan terjerat oleh seorang gadis bernama Arisya. Namun jauh di sudut hatinya mengharapkan agar ada ruang dan peluang untuknya mendekati Arisya sekali lagi.
Tanpa pengetahuan Fariq, rupa-rupanya perlakuannya sebentar tadi telah diperhatikan oleh Maria. Melihat Fariq tersenyum-senyum,Maria sedikit gusar. Dia dapat mengagak bahawa Fariq sedang memikirkan seseorang.Entah mengapa tiba-tiba saja bayangan Arisya bermain di matanya.
"Fariq, jom kita pergi ke kantin. Perut aku dah minta diisi ni,"rengek Maria kepada Fariq. Agar Maria tidak berkecil hati, Fariq membuntuti Maria ke kantin. Tambahan pula,dia belum makan walau sebutir nasi pun sejak pagi tadi. Berjalan beriringan dengan Fariq di hadapan guru pelatih yang baru adalah satu kebanggaan bagi Maria. Dengan cara itu,secara tak langsung dia akan memberitahu semua orang bahawa Fariq adalah kepunyaannya.
" Arisya,tengok tu." bisik Azilla sambil mengacau milo ais di dalam gelasnya. Arisya segera mengalih pandangannya ke arah yang dimaksudkan Azilla.
" Biarlah, itu hak mereka. Tambahan pula,tak baik mencampuri urusan orang,"balas Arisya selamba.
"Assalamualaikum. Boleh saya duduk di sini?"Serentak pandangan Arisya dan Azilla beralih arah. Azilla tergamam.Matanya terkebil-kebil.
"Waalaikumsalam...silakan"jawab Arisya separuh berbisik. Kemunculan Afsyam sedikitpun tidak terkesan di hatinya. Tidak seperti Azilla yang masih terpukau akan ketampanan Afsyam.
Tanpa bicara,Afsyam terus mengisi perutnya dengan sepinggan nasi goreng dan air sirap. Belum sempat Azilla melontarkan salam perkenalan yang bermain di mindanya,Afsyam segera bangkit.Seraya meminta diri,Afsyam memandang kepada Arisya bersama segaris senyuman. Azilla sedikit cemburu kerana Afsyam sedikit pun tidak memandang kepadanya.
Pandangan Fariq terus terarah ke meja Arisya dan Azilla. Dan dia telah menyaksikan segala-galanya. Pemandangan di luar jangkanya sebentar tadi mengundang resah berbau cemburu di hatinya. Fariq sendiri berasa hairan. Mengapa muncul perasaan kurang senangnya itu. Belum pernah dia berperasaan demikian.
Afsyam cuba mematikan bayangan gadis yang ditemuinya sebentar tadi. Namun, semakin dia berusaha melenyapkan bayangan itu semakin jelas pula seraut wajah Arisya bermain di matanya. Afsyam beristifar beberapa kali.
"Ya Allah, lenyapkan bayangan itu daripada pandanganku. Janganlah kau biarkan aku larut dalam permainan perasaan ini."Afsyam berusaha memujuki dirinya agar tidak terbawa -bawa dalam arus perasaannya. Dia tak rela membiarkan perkara yang remeh pada tanggapannya itu mengganggu pelajarannya.
Koperasi maktab yang baru beroperasi dua hari yang lalu, masih lagi mengundang ramai pelanggan untuk berbelanja di situ. Lebih-lebih lagi semua guru pelatih yang baru diwajibkan mencukupkan semua keperluan wajib di situ. Arisya tidak selesa berasak-asak sebegitu. Tapi Arisya akur dan berusaha mencari ruang selesa dalam kesempitan bilik koperasi itu. Dia harus belajar hidup sebegitu kerana di sini dia tidak dipandang sebagai anak datuk. Dia sama seperti guru pelatih yang lain dan sudah pasti layanan yang diterima juga tidak akan ada yang terlebih atau terkurang.
"Ya Allah, dugaan apa lagi yang cuba engkau berikan kepadaku. Mengapa aku bertemu dengannya lagi." rungut Afsyam dalam hati ketika dia melihat kelibat Arisya yang bersesak dalam barisan di hadapannya. Ini adalah kali kedua dia bertembung dengan Arisya hari ini.

No comments:

Post a Comment