03 December 2009

Sesalan di Penghujung Rindu..7

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
Kerinduan Arisya kepada keluarganya kian sarat. Sudah beberapa kali dia menghubungi keluarganya. Arisya amat kecewa.Ternyata papa dan mamanya masih rajuk dengan keputusannya untuk bergelar cikgu. Setiap kali menelefon,panggilannya hanya dijawab oleh Mak Mah orang gaji yang sudah berbelas tahun berkhidmat untuk keluarganya. Arisya nekad. Dia akan menelefon lagi. Lantas, dicapainya telefon bimbit.
Seraut wajah ceria Arisya tenggelam dalam kecewa. Dia gagal dan gagal lagi. Kali ini pun Mak Mah yang melayani panggilannya.Dalam hati kecilnya Arisya berdoa agar rajuk papa dan mama akan segera tuntas.
Datuk Hasbullah masih tidak dapat memaafkan puterinya itu. Harapan untuk menjadikan puterinya sebagai pewaris perniagaannya berkecai saat Arisya menunjukkan surat tawaran ke maktab perguruan. Kedegilan Arisya tak mampu dicairkannya. Dia akur kedegilan Arisya adalah diwarisi daripada dirinya juga. Antara anak-anaknya, Datuk Hasbullah dapat melihat dengan begitu jelas kepimpinan dan kepintaran Arisya yang melebihi adik-beradiknya yang lain. Sebab itulah dia mempertaruhkan harapan yang begitu tinggi kepada Arisya.
"Datuk, maafkan saya. Datuk sedang ditunggu dalam bilik mesyuarat."Datuk Hasbullah sekadar mengangguk kepada Fariza, setiausahanya yang cekap dan rajin menurut pandangannya.
Datuk Hasbullah berpuas hati dengan kecekapan semua unit dalam syarikatnya.Setiap bulan syarikatnya menunjukkan pertambahan nilai yang amat menggalakkan. Tak hairanlah Pelangi Holding antara syarikat yang amat disegani oleh rakan niaganya yang lain. Keupayaan tiga orang puteranya menguruskan perjalanan syarikatnya sering mendapat puijan rakan bisnesnya. Malah ada yang mencemburui kepintaran putera-puteranya itu.
Selepas mesyuarat Datuk Hasbullah segera meninggalkan ruang kerjanya. Hari ini dia telah berjanji dengan kawan karibnya,Datuk Amir untuk makan malam. Sudah lama dia tidak bertemu dengan kawannya itu. Kesibukan kerja membatasi kekerapan pertemuan mereka. Tambahan pula, Datuk Amir baru balik untuk menetap di Malaysia sebulan yang lalu. Datuk Hasbullah amat yakin dalam pertemuan malam nanti banyak perkara yang akan mereka perbualkan.
Seperti yang dijangkakan,pertemuan pada malam itu begitu banyak cerita yang menjadi bahan bicara. Bermula dengan urusan perniagaan hinggalah kepada keluarga.
"Mana menantu aku? Kenapa dia tak ikut?"aju Datuk Amir kepada Datuk Hasbullah.
" Payah aku nak cerita kat kau. Seperti yang kita tahu,degilnya mengatasi puncak Everest.Aku dah plan elok-elok,dia hancurkan semuanya."
"Maksud kau?"Datuk Amir sedikit keliru.
"Dia lebih berminat bekerja dengan orang lain daripada bekerja dengan aku.Aku pun tak faham dengan perangainya tu. Mengapa dia tergila sangat nak menjadi cikgu.Berapa sangatlah gaji yang dia dapat."Datuk Hasbullah meluahkan kekecewaannya.
"What?" Datuk Amir terkejut dengan apa yang baru didengarinya.
"Aku cuma dapat berharap suatu hari nanti ada orang yang akan meruntuhkan kedegilannya itu dan membawanya ke dunia perniagaan kita.Dan aku harap, Rizman mampu melakukannya."
Rizman tersenyum bahagia mendengar harapan Datuk Hasbullah yang begitu tinggi terhadapnya. Bagai pucuk dicita,ulam mendatang kerana sudah lama dia mengintai puteri Datuk Hasbullah yang seorang tu. Sejak mereka sama-sama menuntut di Maktab Sains Mara, dia sudah memasang angan-angan untuk mengakrabkan lagi hubungan mereka. Namun,semua yang terbuku di hatinya terpaksa dipendamnya kerana dia takut keberterusterangannya hanya akan merosakkan persahabatan mereka.

No comments:

Post a Comment