01 December 2009

Sesalan di Penghujung Rindu..5

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran"::

Usapan lembut Azlla yang menyinggahi belakangnya menghentikan esak Arisya. Segera diusapnya titik jernih yang membanjiri kolam matanya. Lantas,dia duduk memeluk bantal sambil membetulkan rambut yang sedikit menutup seraut wajahnya. Segaris senyuman cuba dihadiahinya kepada Azilla. Begitulah seorang Arisya. Pantang baginya untuk orang melihat dia menangis. Padanya, tangisan itu menunjukkan kelemahan. Dan dia tak mahu orang melihatnya sebagai seorang yang lemah walaupun hakikatnya begitulah perwatakan sebenarnya. Dia nampak ceria dan tegas namun jauh dalam dirinya dia miliki sekeping hati yang sangat lembut dan sensitif. Jiwanya terlalu halus dan sudah tentu amat mudah terluka.
Fariq mundar-mandir dalam kamar kecilnya. Dia gelisah. Rasa bersalah menyinggahi segenap ruang rasanya. Kejadian sebentar tadi menjerat seluruh ruang ingatannya.
" Arisya, maafkan aku...maaf.."keluar bisikan kecil dari bibirnya. Fariq kesal akan sikap Maria yang sedikitpun tidak menghormatinya dan Arisya. Fariq memang sedar sikap Maria yang sebegitu setiap kali dia berdampingan dengan gadis lain. Kekadangnya sikap Maria itu mengundang kejengkelan dalam dirinya. Namun, dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja kerana tak mahu melukai hati dan perasaan kawannya itu. Dia dan Maria telah lama kenal. Mereka berasal dari daerah yang sama dan bersekolah di sekolah yang sama sejak dari Tingkatan Satu lagi. Tambahan pula,keluarga mereka saling kenal kerana ayahnya adalah kawan baik ayah Maria.
Sayup-sayup kedengaran laungan azan subuh menyinggahi pendengaran Arisya. Dia segera bangun. Diamatinya suara laungan azan itu. Seperti selalu, Arisya akhirnya larut dalam suara
laungan azan itu. Arisya sendiri tidak pasti mengapa hatinya terasa amat sayu setiap kali mendengar laungan azan itu. Pernah jua dia cuba mengintai empunya suara itu. Namun dia belum ketemu jawapannya kerana yang empunya suara itu hanya muncul kala subuh saja.
Seperti biasa, selepas solat subuh Afsyam akan mencapai foto yang agak lusuh dalam beg kecil yang setia menemaninya ke mana saja dia pergi. Direnung dan dikucupnya foto itu berkali-kali. Setiap kali itu jua, nampak kesedihan yang amat berat di seraut wajahnya. Kekadangnya, ada juga manik jernih di pipinya. Mengapa dan kenapa dia berkelakuan sebegitu,tak ada siapa yang tahu. Afsyam terkenal sebagai guru pelatih yang pendiam. Tapi setelah setahun menghuni di maktab itu, sudah cukup membuktikan Afsyam seorang pelatih yang cemerlang. Cemerlang dalam pelajarannya. Cemerlang dalam sukan olahraga dan bola sepak. Terpenting cemerlang perwatakannya yang sememangnya diperakui pensyarah dan guru-guru pelatih Maktab Rejang.
Keheningan pagi mulai terusik dengan suara riuh penghuni Maktab Rejang yang mengatur langkah ke dewan kuliah. Arisya yang sejak tadi berada di depan Dewan Semerbak terus saja membelek-belek buku di tangannya. Arisya lebih senang membaca buku Pedagogi di tangannya daripada melayani kerenah siulan-siulan nakal guru pelatih seniornya. Kelekaannya menatap buku di tangannya menyebabkan dia tak sedar Fariq yang nampak serba-salah telah berada di belakangnya sejak beberapa minit yang lalu.
"Arisya, maafkan saya..."Arisya bangkit perlahan. Fariq sedikit tunduk. Mungkin juga dia sedang menyembunyikan rasa bersalahnya. Arisya dapat menangkap sikapnya itu. Lalu untuk menceriakan keadaan walaupun dalam payah, Arisya menghadiahi segaris senyuman kepada Fariq.
" Apa kita nak terus berdiri di sini saja?" Pertanyaan Arisya menyentakkan Fariq.
Fariq hairan.Sungguh-sungguh dia hairan. Peristiwa petang semalam seakan tidak mengusik sedikitpun perasaan Arisya. Sejak tadi dia melihat tak ada perubahan pun dalam sikap Arisya terhadapnya. Tetap saja sama seperti semalam. Tapi dalam diri seorang Arisya hanya tuhan yang tahu betapa dia berusaha sebaik mungkin menyembunyikan luka di hatinya.
Arisya senang berada di dalam perpustakaan itu. Sementara menunggu Fariq membuat rujukan, dia dapat membelek-belek beberapa buah buku Bimbingan dan Kaunseling. Arisya sememangnya amat berminat dalam bab kaunseling. Dia juga banyak membaca buku-buku berkaitan psikologi. Menurutnya, mengkaji pelakuan manusia adalah sesuatu yang menarik.
Selang dua meja di hadapannya, seorang pelatih lelaki nampak begitu tekun membaca dan sesekali seakan sedang mencatat sesuatu. Ketekunannya terganggu. Tiga orang rakannya mendekati lalu membisikkan sesuatu. Dia bingkas bangun sambil menyusun buku-buku yang sedikit berselerak di atas meja. Beberapa buah buku disusunnya ke dalam rak berdekatan. Lalu dicapainya beberapa buah buku yang masih berbaki di atas meja. Dengan sedikit gopoh dia mengatur langkah.

2 comments:

  1. Hmm, ada watak baru yang cuba ditonjolkan. Watak yang wujud masih di luar lingkaran hidup watak Arisya. Ada unsur saspen pulak tu...

    ReplyDelete
  2. Banyak lagi watak di luar jangka akan wujud..Daya tarikan dalam sesebuah karya ialah unsur suspennya...

    ReplyDelete