27 November 2009

Sesalan di Penghujung Rindu...3

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
Kegelisahan meresapi di setiap ruang hati Arisya. Dia gelisah. Terlalu gelisah. Direnungnya berkali-kali kad biru di tangannya. Dia perlukan tujuh belas tanda tangan lagi. Masa untuk menghantar tugasannya itu pula, tinggal beberapa minit saja lagi. Terlalu mustahil untuknya menyempurnakan tugasan itu. ada sedikit rasa kecewa bermukim di sudut hatinya. Kecewa kerana kegagalan menyempurnakan tugasan itu adalah gambaran tentang kelemahannya. Itu yang dia tak suka. Namun, tersisip jua rasa marah dengan seniornya yang memberikan tugasan yang tidak adil pada pertimbangannya.

"Arisya! Arisya! ..."jeritan Azilla mematikan lamunannya. Arisya bingkas mencapai begnya lalu menuju ke arah Azilla yang sedang menunggunya. Wajahnya sedikit mencuka.
"Helo,Arisya Datuk Hasbullah...mana menghilangnya senyuman awak? Mana sembunyinya seri wajah perempuan melayu terakhir Malaya ni?"

Arisya tidak terusik dengan usikan sahabatnya itu. Fikirannya masih terjerat kepada tugasan yang tak selesai itu. Terbayang olehnya akan wajah bengis Sang Senior yang menjebaknya ke situasi yang meresahkannya kini. Sedar tak sedar dia dan Azilla telah berada di dalam Dewan Semerbak yang menjadi persinggahan wajib guru-guru pelatih baru sepanjang minggu orientasi.

Baru saja dia nak menempatkan dirinya dalam barisan rutinnya, namanya telah dipanggil ke hadapan. Jantungnya berdenyut pantas melebihi kadar biasa. Jari-jemarinya sesejuk ketulan ais yang membeku. Dalam hati,Arisya menyebut kalimah"Allahu Akbar" berkali-kali. Itulah kebiasaannya setiap kali dilanda masalah. Baginya dengan menyebut kalimah suci itu, terasa seolah- olah Allah bersamanya dan itu sedikit sebanyak memberikan ketenangan kepadanya.
"Mana tugasan awak?Dah selesai?"
"Maafkan saya,tuan. Saya gagal menyelesaikannya..." sambil Arisya menunjukkan kad biru di tangannya kepada Sang Seniornya itu. Arisya alpa. Dan redha dengan apa saja denda yang akan dikenakan kepadanya. Secara positifnya, bagi Arisya itu sewajarnya diterima kerana ketidakupayaannya melaksanakan sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sudah pasti itu akan menjadi pengajarannya yang amat berguna kepadanya.
"Mengapa awak gagal? Apa masalah awak? Tugasan yang semudah inipun awak tak mampu nak selesaikan.Bagaimana pula awak nak berdepan dengan seribu satu masalah yang mendepani apabila awak bergelar cikgu nanti?" Hati Arisya sedikit terusik. Betulkah Sang seniornya itu tak tahu masalah yang dihadapinya untuk menyelesaikan tugasannya itu.Atau, dia sengaja buat tak tahu.Bukankah, dia pernah melihat bagaimana Arisya dibuli setiap kali meminta tanda tangan senior-seniornya. Tambahan pula, bukankah jadual harian mereka yang terlalu padat itu agak membatasi waktunya untuk berkejar ke sana sini meminta tanda tangan para seniornya.
"Sebagai denda di atas kegagalan awak itu, saya nak awak menjadi pengiring saya selama satu minggu. Faham?" Arisya hanya mengangguk lesu kerana masih terkesima dengan denda itu. Dia rasa amat jengkel dengan denda seperti itu. Lagipun, dalam sejarah hidupnya dia paling tak suka berjalan beriringan dengan lelaki. Pegangan agama yang kuat membatasi pergaulannya dengan insan yang berlainan jenis walaupun dia anak seorang yang terhormat di pedaerahannya.

No comments:

Post a Comment