11 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (13)

Sebelum sempat aku menghantar Emir balik ke Hotel Merdeka Palace, abang telah memintaku membawa Emir berjumpanya di rumah. Mulut aku mengiyakan tetapi hatiku menjerit memprotes permintaan abang.Walaupun tidak ikhlas, aku bawa juga Emir ke rumah kami.Kedatangan Emir disambut gembira oleh seluruh ahli keluargaku.Abang yang nampak paling gembira. Saling bertukar cerita dengan Emir, persis dua orang sahabat lama yang baru berjumpa.

Mungkinkah hanya aku yang tidak tahu tujuan sebenar kedatangan Emir. Berita yang disampaikan oleh mama sebentar tadi amat mengejutkanku.Rupa-rupanya Emir bukan sekadar datang untuk menghadiri mesyuarat tetapi juga untuk melamarku.Mengikut kata mama, dua hari lagi keluarga Dato Maulana akan datang merisik secara rasmi.Aku hanya mampu diam tanpa berkata apa-apa.Aku tidak sanggup untuk berkata tidak kepada mama yang nampak sangat gembira dengan lamaran Emir.Abang pula sempat memeluk Emir sambil mengucapkan terima kasih.

Kegusaran yang merajai hatiku tak ada siapa yang tahu.Keresahan yang bertamu tak ada siapa yang fahami.Aku terkilan.Mengapa aku tidak diberi peluang untuk menentukan masa depanku sendiri.Sampai hati Emir merahsiakan semuanya daripadaku.Betapa beraninya Emir melamar aku daripada mama dan abang tanpa berbincang denganku terlebih dahulu.Airmata teman setiaku membanjiri tubir mataku.

Ketika ini aku amat perlukan seseorang untuk menenangkan aku.Lalu aku mencari DIA di dunia maya. Sedihnya,malam itu DIA tidak muncul.Aku menghantar SMS kepadanya.Namun selepas tiga SMS aku hantar,tetap saja tiada balasan.Hatiku bertambah sayu. Aku juga sedikit tertekan.Mengapa saat aku perlukan teman bicara, tak ada siapa yang menemaniku.

Aku nekad untuk berjumpa dan menyelesaikan semua yang berlaku dengan Emir sebelum papa dan mamanya datang merisik.Emir agak terkejut tatkala aku meluahkan ketidakpuashatian aku terhadap tindakannya itu.Walaubagaimanapun, Emir berusaha menyakinkan aku akan cintanya kepadaku.Menurut Emir, semua ahli keluarganya merestui dan menyokong pilihannya untuk menjadikan aku menantu sulung Dato Maulana.Pelbagai alasan aku berikan agar Emir membatalkan niat papa dan mamanya untuk merisikku.Namun semakin banyak alasan yang aku berikan semakin banyak juga jawapan yang Emir berikan untuk menepis alasan-alasan itu.Aku cuba juga untuk menghubungi DIA melalui telefon bimbit, namun hanya kehampaan yang aku dapat.Sudah tiga hari DIA menghilang tanpa jejak.

Kesungguhan Emir dan kesenyapan DIA akhirnya membuat aku akur akan ketentuan yang tercatat buatku.Ketika sebentuk cincin bermata berlian tersarung di jari manisku, aku menitiskan airmata.Aku menjadi sangat marah kepada DIA.Aku tak tahu mengapa tetapi aku amat sakit hati di atas kesenyapannya itu.Dan hari ini kesenyapan DIA telah membuat aku menjadi milik Emir Asyraf Dato Maulana walaupun dalam hatiku belum ada benih-benih cinta buatnya.Ketika melihat semua orang tersenyum gembira hatiku merintih sakit yang teramat perit.Tapi demi menjaga perasaan mama, aku cipta senyuman penuh kepalsuan untuk menyembunyikan luka di hatiku.Justeru, semua orang ingat aku bahagia dengan penyatuan itu walaupun belum rasmi sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment