11 July 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA (13)

Akhirnya penantianku berakhir juga. Permohonan aku untuk melanjutkan pelajaran di UPM telah berjaya. Aku akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Linguistik Bahasa dan Sastera. Aku amat gembira dan bersyukur kerana niatku untuk melanjutkan pelajaran yang selama ini terhalang oleh pelbagai masalah tercapai juga. Aku segera menghubungi DIA untuk berkongsi kegembiraanku.Aku pun tak pasti mengapa aku memilih DIA untuk berkongsi kegembiraan itu.Mungkin juga kerana DIA yang banyak memberi dorongan kepadaku untuk melanjutkan pelajaranku.

Aku sedikit kecewa tatkala aku mengkhabarkan berita itu kepada Emir, apabila dia buat selamba saja. Emir berpendapat sudah memadai dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Aku mengeluh kecewa menerima pandangannya. Betapa jauhnya perbezaan antara Emir dan DIA.Aku pujuk diriku untuk mengabaikan dan melupakan saja kata-kata Emir.Tambahan pula aku bukan sesiapa buat Emir.Emir juga bukan sesiapa buat aku.Jadi, aku peduli apa?

Seorang demi seorang nama pensyarah dan tutorku aku teliti.Mataku terpaku kepada nama tutor Kesusateraan Melayu. Encik Zulhadi bin Ishak. Seorang penulis yang terkenal di Sarawak.Seorang penggiat seni yang amat disegani.Punyai ramai peminat dan pengikut.Tidak terkecuali denganku.Aku meminati karya-karyanya sejak dulu lagi.Justeru aku berasa amat beruntung jika dapat berguru dengannya. Pastinya juga,aku tidak akan melepaskan peluang menuntut seberapa banyak ilmu daripadanya.

SMS yang aku terima membuat aku terkedu.Emir Asyraf Dato Maulana berada di Bandaraya Kuching.Dia meminta aku berjumpa dengannya di Hotel Merdeka Palace. Maka, selepas kelas hari itu aku segera menemuinya. Bukan kerana aku tak sabar untuk menemuinya, tetapi aku cuba mengelak untuk menemuinya pada waktu malam. Aku sangat yakin mama tidak akan membenarkan aku berjumpa Emir pada waktu malam apatah lagi di hotel.

Untuk seketika aku akui terpegun dengan ketampanan Emir Asyraf. Emir sememangnya bijak dalam penampilannya. Tak hairanlah jika ramai gadis yang mengintai anak sulung Dato Maulana ini. Aku membawa Emir makan tengah hari di sebuah restauran di Kampung Budaya Sarawak. Di situ suasananya agak santai.Jauh daripada kesibukan kota.Pemandangannya juga amat menarik.Pantai Damai dan Gunung Santubong memberikan pemandangan yang amat indah.Tambahan pula, Emir belum pernah masuk ke Kampung Budaya Sarawak.

Selepas menjamu selera dengan makanan tradisional Sarawak, aku membawa Emir meronda di sekitar kawasan Kampung Budaya Sarawak. Beberapa kali Emir menyatakan kekagumannya terhadap pelbagai jenis rumah yang mewakili setiap kaum etnik Sarawak yang ada di situ.Rumah orang Melanau dan orang Bidayuh amat menarik perhatiannya.Kami juga sempat menyaksikan persembahan kebudayaan dalam panggung teater di situ.

Keletihan mula menjalar meranapkan seluruh kekuatanku. Namun aku pertahankan juga demi Emir Asyraf Dato Maulana. Bukan kerana aku suka berdampingan dengannya tetapi aku sekadar mengikut ajaran dan pesanan mama.Tetamu mesti dilayan dengan baik.

No comments:

Post a Comment