24 November 2009
Bermimpikah Aku?
Hari ini aku masih lagi melayan kegembiraan semalam. Aku telah menghubungi mereka-mereka yang jauh dan dekat untuk meminta pendapat..hehehe..seperti yang aku duga sudah tentu aku akan mendapat positif dan negatifnya. Kuncu-kuncu yang taat setia di belakangku pulak...
hehehe..asyik-asyik menyebut..be carefull asha..Thanks guy...asha will always carefull..
Namun,aku sedikit kecewa apabila aku gagal menghubungi sahabatku untuk aku kongsikan kegembiraanku bersamanya.Sahabatku,seandainya kau melewati lamanku ini, ketahuilah olehmu bahawa aku akan sentiasa mengingati semua yang telah kau berikan kepadaku termasuk blog ini.Sampai bila-bila pun aku tak akan melupakanmu.Thanks a lot..
Kesibukan untuk memulakan perjalanan yang baru membuat aku sedikit sibuk hari ini dan baru sebentar tadi DIA memintaku untuk mengiringinya ke satu destinasi yang sering menjadi persinggahannya. Aku tahu DIA berniat untuk membimbing aku agar bisa melangkah seiring dengannya nanti. Terus-terang aku katakan bahawa di hadapannya,aku rasakan yang aku terlalu kerdil dan buat pertama kalinya aku merasakan terlalu dhaif di hadapan orang. Entahlah..mungkin DIA terlalu istimewa buatku dan DIA memang menjadi idolaku sejak sekian lama..Pertemuan dan penyatuan ini pun tak pernah terlintas di kotak fikirku..Semuanya bagaikan mimpi..Syukurku kepadaMU Allah dan semoga ENGKAU akan terus memberkati
penyatuan kami ini...aminnnn
23 November 2009
Akhirnya..Kami kan BERSATU...
Inilah malam yang paling indah dalam hidupku. Setelah sekian lama mencari dan menunggu akhirnya penantianku berakhir jua. Dengan sebaris ayat yang mudah saja, sudah memadai untuk memberi isyarat bahawa kami akan melangkah seiring untuk visi 2010 nanti. Aku amat yakin dengan adanya dia di sisiku, kejayaan akan berada di dalam genggamanku dalam visi 2010 kami. InsyaAllah, kami akan gegarkan Sarawak 2010 nanti. Target kami merentasi Laut China Selatan...
Esok aku akan memulakan langkahku membuat segala persiapan sebelum kami BERSATU...
Sesalan Di Penghujung Rindu..2
Berdesing telinga Arisya menangkap kata-kata seniornya. Bukannya dia tak suka kalau dirinya harus menerima layanan yang sama seperti pelatih yang lain. Tapi, yang dia tak suka ialah persepsi orang terhadapnya jika mereka tahu dia anak seorang yang bergelar "datuk". Kalau dapat ingin sekali Arisya memadam perkataan datuk di hadapan nama papanya.
"Arisya Datuk Hasbullah! Tampil ke hadapan,"jeritan itu mematikan lamunannya. Dengan langkah yang sedikit dipercepatkan, Arisya mendekati pelatih senior yang memanggilnya. Arisya tunduk. Dia takut bertentang mata dengan senior yang seorang ini. Sejak hari pertama Arisya sering mengintip seniornya ini yang nampak bengis dan tegas. Berdiri di hadapannya membuatnya Arisya kecut.
" Arisya! Saya nak awak kumpulkan tanda tangan 200 orang guru pelatih senior. Serahkan semua tanda tangan itu kepada saya sebelum berakhirnya minggu orientasi ini. Faham?"
"Faham,tuan!" jawab Arisya keras walaupun dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Mana mungkin dia nak selesaikan tugasan itu dalam masa yang tinggal dua hari saja lagi. Tambahan pula, dia bukannya kenal dengan abang-abang dan kakak-kakak senior di situ. Namun, Arisya yang terkenal dengan ketabahannya berpendapat dalam hidup ini tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
Hari ini, aktiviti orientasi lebih banyak ceramah daripada beberapa orang pensyarah. Sebelah petangnya pula, aktiviti gotong-royong menghijaukan kawasan maktab diadakan.
" Fariq, kenapa kau dera budak Arisya tu sampai begitu sekali? Mana mungkin dia dapat mengumpul tanda tangan sebanyak tu dalam masa dua hari?"
" Hei, kenapa pulak kau yang terasa? Kau berkenan kat dia ke?"
" Bukan itu soalnya. Tapi sebagai senior kita kena juga bertimbang rasa kepada junior kita. Barulah dia orang akan menghormati kita."
" Aku bukannya bermaksud nak menyusahkannya. Tapi aku nak menguji kemampuannya di samping membuka jalan kepadanya untuk kenal lebih ramai pelatih senior kat sini. Mengenali lebih ramai orang kat merupakan aset yang amat berguna untuknya selama dia bergelar guru pelatih di sini."Aqil mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai petanda yang dia menerima penjelasan sahabat baiknya itu.
Sepasang mata mengintip pergerakan seorang gadis manis yang nampak begitu tabah dibuli para senior setiap kali dia cuba meminta tanda tangan mereka. Sesekali nampak merah seraut wajahnya. Mungkin dia sedang menahan sakit hatinya atau juga dia sedang cuba untuk menenangkan dirinya di dalam melangsaikan tugasannya itu.
" Arisya Datuk Hasbullah, apa balasan awak kepada saya jika saya menurunkan tanda tangan saya? Kalau awak nak, saya boleh dapatkan semua tanda tangan tu hari ini juga. Bagaimana?"
" Apa maksud...tuan?" Arisya sedikit gementar.Panggilan "tuan" adalah panggilan para pelatih baru kepada senior mereka sepanjang minggu orientasi.
" Maksud saya, Cik Arisya jadilah teman wanita saya.Setuju?" Mendengar permintaan tersebut membuat Arisya cuba mengangkat kakinya dari situ. Dia segera menarik tangan Azilla untuk mengajaknya pergi. Tetapi sepantas itu juga sepasang tangan kasar menariknya. Hampir saja Arisya terjatuh.
" Cik Arisya, awak ingat semudah itu awak nak meloloskan diri awak setelah awak memasuki
tempat saya?"
" Maafkan saya,tuan. Saya tak boleh menunaikan permintaan tuan. Jadi, rasanya saya harus segera mencari orang lain untuk menurunkan tanda tangan di sini. Maafkan saya."
" Saya nak awak mengelap kasut saya ini dengan tudung di kepala awak tu. Cepat!"
Arisya terkesima. Bagaimana mungkin dia mengelap kasut seniornya itu menggunakan tudungnya. Baginya tudung adalah antara mahkota wanita muslimah yang harus dihormati. Tambahan pula, tak mungkin dia nak memperlihatkan auratnya di hadapan para seniornya itu.
" Cepattttttt!" Bentak seniornya itu lebih keras. Dengan rasa kesal, Arisya terpaksa akur. Dia cuba membuka tudungnya perlahan.
" Tunggu!" Arisya terkejut apabila lelaki bertubuh sasa dan tinggi berdiri di hadapannya. Tambah mengejutkannya kerana lelaki itulah yang telah menderanya untuk membuat tugasan itu.
" Rizal, awak dah keterlaluan. Tindakan awak dah melanggar peraturan minggu orientasi maktab ini. Saya nak awak turunkan tanda tangan awak dan kawan-kawan awak tu sebagai denda di atas perlakuan kamu tadi. Kalau tidak, saya akan membuat laporan kepada pihak atasan."
Dengan wajah yang menampakkan sedikit marah dan gusar akhirnya Rizal terpaksa juga menurut arahan Fariq. Dia tak mahu dibawa mengadap Lembaga Disiplin Maktab. Lagipun, Fariq adalah Yang Dipertua Guru Pelatih yang amat disegani kerana kewibawaannya sebagai pemimpin.
.....bersambung....
22 November 2009
Sesalan Di Penghujung Rindu...1
Aku tak tahu dari mana dan bagaimana hendak memulakannya kerana aku sudah lama tidak menulis novelet. Duniaku kini lebih berfokus kepada penulisan sajak saja. Namun seseorang telah mendesak aku agar memulakan semula langkahku dalam dunia penulisan novel. Menurutnya, bakat yang ada padaku seharusnya aku kongsikan bersama orang lain. Justeru, atas kesungguhannya untuk menjadikan aku seorang penulis novel maka aku mencuba untuk memulai jalan yang telah lama aku tinggalkan ini. Tambahan pula, dia sanggup menjadi mentor kepadaku dan aku yakin dia memang mampu menjadi mentorku yang baik kerana dia pun bukan calang-calang orang dalam dunia penulisan.Lalu..apa lagi yang mampu aku katakan melainkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga.
Hidup ini adalah satu perjalanan. Perjalanan yang menuntut perjuangan dan pengorbanan. Hidup ini juga harus bersedia untuk menerima segala kemungkinan kerana sesungguhnya kita tak pernah tahu apa yang terdaftar di dalam diari hidup kita. Sesungguhnya, hanya Allah yang ang maha mengetahui. Dan sebagai hambaNYA, kita harus redha menerima segala ketentuan. Begitu jualah asam garam dalam kehidupan seorang ARISYA...gadis yang tak putus-putus menerima ujian daripada Sang Penciptanya.
Keputusan untuk memasuki maktab perguruan adalah titik mula dugaan mendatangi hidup Arisya. Papa dan mamanya menentang keras keputusannya untuk bergelar CIKGU. Begitu juga dengan adik-beradiknya yang lain. Semuanya berpendapat adalah sesuatu yang memalukan apabila anak seorang ahli perniagaan yang berjaya dan ternama sekadar bergelar cikgu.
Sungguh! Arisya tak tahu apa salahnya dia bergelar cikgu. Bukankah cikgu itu insan yang mulia. Mencurahkan ilmu untuk kepentingan masa depan orang lain. Kalau difikirkan betul-betul, bukankah seorang menteri, doktor, peguam, malah ahli perniagaan seperti papanya adalah atas bakti cikgu.
Maktab Perguruan Rejang. Di situlah Arisya menjalani latihan untuk mempersiapkan dirinya berdiri gah sebagai cikgu. Seharusnya, Arisya tidak perlu risau akan kewangannya semasa berada di maktab. Kekayaan keluarganya terlalu cukup untuk perbelanjaan Arisya. Namun sebaliknya yang berlaku. Arisya Datuk Hasbullah, anak ahli perniagaan terhormat terpaksa hidup sederhana seperti guru pelatih yang lain. Papa dan mamanya enggan membantu Arisya. Arisya tahu tindakan papanya itu adalah sebagai protes di atas kedegilannya yang enggan menurut kehendak papa menjadi ahli perniagaan. Tindakan papa dan mama membuat Arisya sedikit terkilan, namun tidak sesekali membantutkan cita-citanya. Arisya rela melepaskan segala kemewahannya, asalkan dia dapat dipanggil cikgu.
20 November 2009
CUTI

CUTI..datang lagi...Sememangnya inilah saat yang amat dinantikan oleh semua sama ada ibu bapa,guru apatah lagi murid sekolah.Tapi ada juga ibu bapa yang resah setiap kali menjelangnya cuti sekolah kerana kononnya payah kena jaga anak-anak sepanjang musim cuti.Kalau mereka ke sekolah sekurang-kurangnya ada ruang untuk ibu-ibu berehat kat rumah..betulkah begitu????Kalau murid aku, tak ada peluang untk mereka bercuti sepenuhnya kerana mereka telah aku bekali dengan tugasan musim cuti...20 soalan penulisan di samping modul musim cuti daripada Jabatan Pelajaran Daerah Kuching.
DAN.. yang pasti cuti ini..aku masih ada beberapa tugas yang perlu diselesaikan.Tugasku sebagai pengacara masih dituntut untuk beberapa majlis.Nak ditolak tak sampai hati juga..Bila ditolak dan ditambah...rasanya cuti aku hanya akan bermula 12 Disember nanti..betulkah???hahaha..
...Apapun..SELAMAT BERCUTI BUAT SEMUA...buat rakan guru..rehat2kan minda...
Andainya dia bukan untukku..

Semalam nan kelam
telah kutinggalkan
kerana aku perlu bangkit
untuk langkah mendatang.
Tetap saja aku menadah harap
memohon kekuatan diri
daripada Sang Penciptaku.
Ya Allah..
andai saja dia bukan untukku
hapuskan ingatanku kepadanya
padamkan semua kenangan tercipta
lenyapkan semua yang pernah jadi milik kami berdua
agar tiada lagi rindu berlagu
dan resah bertandang
membatasi perjalanan.
18 November 2009
DIA..

DIA
hadir dengan sejambak kasih
mengusap lara di hati
menghulur tangannya
mengajak aku bangkit
tatkala
aku terbiar sendiri
di perdaerahan sepi ini.
DIA
yang aku kenal
redup seraut wajahnya
seakan memahami
luka terpendam
di relung hatiku.
>>>Terima kasih dan syukurku kepada Allah kerana telah menitipkan dia kepadaku saat aku terhukum oleh permainan duniawi dan tika semua orang membuang pandang terhadapku..