17 June 2012

ANTARA CINTA DAN DUSTA..(1)

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
     Sekelipan aku tak  tahu bagaimana nak memulakannya.Bukan mudah kita nak menceritakan kisah hidup kita kepada orang.Silap-silap orang akan kata aku ni, membuka pekung di dada sendiri.Biarlah, aku tak kisah.Orang boleh kata apa saja tentang aku,aku tak kisah sebabnya AKU ADALAH AKU.Apa yang aku nak paparkan di sini, aku harap ianya akan membuka minda kita semua tentang rencamnya perjalanan hidup ini,tentang nilai kemanusiaan dan yang terpenting tentang hebatnya KEKUASAAN ILLAHI.
      Zaman remaja aku tidak banyak bezanya dengan remaja-remaja yang lain.Hidup dalam lingkungkan keluarga yang agak mewah sudah semestinya menjadikan aku antara remaja yang hanya tahu tentang keseronokan. Aku gembira dan amat bersyukur kerana aku tak pernah mengenal erti kesusahan dalam hidupku.Semua keperluanku mencukupi dan kekadangnya ia mengundang rasa cemburu kawan-kawanku.Walaupun hidup dalam keluarga yang berada namun, kami adik beradik tetap dididik berlandaskan hukum agama yang agak ketat.
            Putaran kehidupan tak ada siapa yang tahu.Hari ini kita gembira, esok pula mungkin kita akan bersedih.Hari ini kita bahagia,esok pula mungkin kita menderita.Hari ini kita senang, esok pula mungkin kita akan susah.Semua itu adalah dugaan kehidupan yang akan dilalui oleh setiap insan. Aku juga tidak terkecuali menerima dugaan itu.
            Hidup aku berubah selepas aku bergelar tunangan orang.Bahagianya hidup aku ketika itu tak mampu aku ungkapi dengan kata-kata.Maklumlah bertunang dengan insan yang amat aku cintai dan juga mencintai aku sejak lima tahun yang lalu.Silapnya ketika itu aku ditugaskan di sebuah sekolah di pedalaman Kapit sedangkan tunang aku pula bertugas di Bandaraya Kuching.Bercinta dari kejauhan ini rupanya menjadi punca bermulanya ketragisan dalam hidupku.Cinta yang nampak begitu sempurna antara kami goyah juga akhirnya.
            Hati mana tidak terluka tatkala hati berlagu riang menghitung hari akan diijabkabulkan dengan insan tercinta punah begitu saja.Gadis mana tidak malu ketika dia sibuk mempersiapkan keperluan majlis perkahwinannya diberitahu pertunangannya telah diputuskan.Aku tidak akan melupakan saat aku kembali ke Kuching untuk majlis perkahwinanku.Aku begitu gembira menunjukkan kepada keluargaku akan cadar dan perhiasan bilik pengantinku yang aku beli.Mama hanya menitiskan airmata ketika aku mengeluarkan cadar aku yang berwarna kuning muda.Kakak lantas memelukku dan menangis.Aku kehairanan juga tetapi aku beranggapan mungkin mama dan kakak menangis kerana aku akan menjadi milik mutlak insan bergelar suami dalam tempoh beberapa minggu lagi.Akhirnya semua persoalan terjawab,dan hanya airmata membasahi cadar yang masih dalam genggamanku.Rupanya, pertunangan aku telah diputuskan dan tunangku telah berkahwin dengan gadis lain.Luka hatiku bertambah parah kerana gadis yang dikahwininya itu ialah sahabat karibku sendiri.
            Sungguh aku tak faham mengapa semuanya jadi begini?Apa salah aku?Mengapa sahabat karibku sanggup mengkhianati aku?Aku tidak mempunyai jawapan kepada semua persoalan itu.Semua yang berlaku memberikan tekanan yang amat hebat buatku sehingga aku terlantar selama 3 bulan di hospital.
            Bermula dari saat itu, aku memnyimpan dendam yang amat mendalam dalam diriku. Aku hilang kepercayaan kepada orang lelaki.Aku mula membina benteng keegoan,dalam hidupku.Ketika itu juga hatiku menjadi sedingin salju. Aku memandang sepi lelaki-lelaki di sekelilingku.Perasaan kasih,perasaan sayangku hilang entah kemana.Yang bertakhta di hati hanya gumpalan dendam yang membara.


No comments:

Post a Comment