Sesungguhnya perjalanan hidup ini amatlah unik.Kita tak tahu apa yang mendepani dan apa yang direncanakan buat kita.Sehebat mana pun kita,kita tidak akan dapat meneka takdir hidup kita. Sekuat mana pun kita, kita tak akan mampu melawan kehendak takdir.Sebaik mana pun perancangan kita, jika tiada keizinanNYA tidak akan menjadi juga.Begitu juga hal yang terjadi kepadaku.
Percaturanku sedikit tersasar.Semuanya berlaku dengan berita yang baru saja dikhabarkan mama kepadaku.Kami sekeluarga akan balik ke Kuching menjelang Hari Raya Aidilfitri. Setelah sekian lama, mengapa perlu balik ke Kuching?Ada bisikan halus di hati kecilku kurang menyenangi berita yang mama sampaikan. Walaupun begitu, aku hanya mampu berdiam diri kerana aku tidak mahu meluka dan mengecewakan niat mama dan keluarga.Dalam hatiku ketika itu hanya Allah yang mengetahuinya.
Sungguh! Aku tidak sanggup untuk bertemu dengannya.Dia lelaki yang merobohkan pelamin cintaku sebelum bersanding.Dia lelaki yang mengajar aku erti cinta dan kemudian mengkhianatinya.Dia yang menyemai benih-benih kebencianku terhadap kaum Adam.Dan dia yang menjadikan aku seorang pendendam.Dialah lelaki yang pernah bertakhta di hatiku dan sempat bergelar tunanganku tetapi memutuskan ikatan suci itu kala aku riang menghitung hari menjadi suri hidupnya.
Malam itu seperti biasa, aku dan DIA sembang di YM. Entah mengapa begitu mudah untuk aku ceritakan kepada DIA apa yang bermain di fikiranku. Aku ceritakan juga kegelisahan hatiku.DIA pula begitu setia mendengar ceritaku. Sesekali DIA menitipkan kata nasihat buatku.Gurauan, usikan dan nasihat DIA pada malam itu sedikit sebanyak berjaya menenangkan aku.Untuk seketika aku lupa kepada masalahku.Walaupun aku amat menghargai apa yang DIA lakukan untukku pada malam itu, tetapi jauh di sudut hatiku dendam itu tetap ada.
“Sedap! Secukup rasa..”Itulah ungkapan DIA kepadaku tatkala aku memberitahu namaku. Aku sengaja membiarkan DIA mengetahui namaku dengan harapan DIA akan semakin mendekati perangkapku.
Akhirnya kami sekeluarga telah sampai ke Bandaraya Kuching.Semuanya gembira kerana dapat berjumpa dengan sanak-saudara dan akan menyambut Hari Raya bersama-sama.Rasanya sudah beberapa tahun kami tidak meraikannya bersama sejak peristiwa yang tragis itu.Hanya aku yang serba tak kena.Aku takut akan bertemu lagi dengan insan yang telah menghancurkan seluruh hidupku.Dan aku belum bersedia berdepan dengan sahabat karibku yang tegal mengkhianati aku.Kemaafan itu belum mampu aku berikan kepada mereka.Aku tahu ramai yang akan berkata," yang berlalu itu biarlah berlalu.Sedangkan Nabi lagi ampunkan umatnya,apatah lagi kita manusia yang banyak kelemahan"Aku akui semua pernyataan itu memang benar, tetapi selagi keikhlasan tidak ada beserta kata maaf yang akan aku berikan tidak ada gunanya juga.Jadi biarlah segalanya terbuku bersama dendam yang membara.
Sejak kembali ke Kuching, aku semakin kerap berhubung dengan DIA. Setiap kali sembang dengan DIA pastinya ada saja bahan perbualan kami.Jangan terkejut kalau aku katakan kami sering sembang sehingga subuh.DIA memang bijak untuk menarik orang untuk terus berbual dengannya.Dalam kekaguman aku terhadapnya, aku menyimpan niat untuk mencari kelemahannya.Walaupun DIA sering mempamerkan kejujuran dan keprihatinannya terhadap aku tetapi masih ada benteng yang aku letakkan di antara kami. “ Ego you sangat tinggi.”Itulah kata-kata yang sering DIA lemparkan kepadaku.Aku tidak kisah sebab memang ada kebenarannya.
No comments:
Post a Comment