:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::
Berterima kasihlah Duhai Manusia!
Bersyukur dan berterima kasih adalah suatu sifat semulajadi insan Ia adalah perasaan yang datang mengiringi nikmat yang diperolehi tidak kira sama ada kecil atau besar secara langsung mahupun tidak.
Perasaan berterima kasih ini sebenarnya tidak perlu diasuh atau diajar, kerana ia sangat semulajadi dengan jiwa atau fitrah murni insan.Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan oleh kedunguan atau kebongkakan, perasaan berterima kasih akan mudah hadir tanpa dipaksa.
Allah SWT Maha Memberi nikmat kepada seluruh makhluk-Nya.Dialah pemberi nikmat yang sebenar. Dia telah menjanjikan tambahan nikmat kepada orang-orang yang bersyukur sebagaimana Dia menjanjikan azab yang keras untuk orang yang tidak bersyukur.
Firman Allah: Mafhumnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim:7)
Allah SWT jugalah yang telah menjadikan manusia ini saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka.
Justeru sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa yang lahir pada diri seorang insan itu adalah juga suatu tuntutan syarak.Dari sifat berterima kasih ini akan lahirlah perasaan kasih sayang dan kemesraan.
Namun apabila perasaan ini hilang (atau tidak wujud?), ia hanya mengundang kebencian dan perpecahan.Bukan itu sahaja.Rasulullah SAW telah menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah.
Sabda baginda SAW daripada Abu Hurairah r.a:” مَن لمَ يَشكُرِ النَّاسَ لمَ يَشكُرِ اللهَ ” . Mafhumnya: “Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi. Kata Al-Albani: Sahih)
Sifirnya mudah, manusia itu hanya mampu memberi pertolongan yang sedikit, contohnya: memberi bantuan kewangan (barangkali sekadar beberapa ratus RM sekali sekala).Ia hanya sedikit. Sedangkan Allah SWT yang Maha Memberi ini memberikan nikmat dan rezeki-Nya setiap masa. Justeru, barangsiapa yang tidak mampu berterima kasih kepada yang sedikit bagaimana mampu untuk berterima kasih pada yang banyak?!Bagaimana hendak berterima kasih kepada manusia?
Rasulullah SAW mengajarkannya melalui sabda baginda:وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ. Mafhumnya: “…dan barangsiapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balasilah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalasinya, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasinya”.(Hadith riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i dengan sanad-sanad As-Sahihayn)Membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda utama sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya.
Namun selain itu banyak lagi tanda lain yang boleh dikenali, antaranya:
1. menyatakan perasaan berterima kasih itu
2. mengiktiraf bantuan yang telah diterima
3. tidak mencelanya seakan-akan tidak pernah ada hubungan atau jasa yang dilakukan.
Inilah sikap yang patut ada pada diri seorang muslim yang baik, lebih-lebih lagi pada diri manusia bergelar pendakwah.Inilah yang dilakukan oleh Anas Bin Malik r.a ketika mana beliau memuji Jairi Bin Abdullah r.a, katanya:” صحبت جرير بن عبد الله فكان يخدمني ” Mafhumnya: “Aku telah bersahabat dengan Jarir Bin Abdullah, dan dia sering membantuku”. (riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Kubra)
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang bersyukur dan menganugerahkan nikmat-Nya yang melimpah ruah. Juga mudah-mudahan kita menjadi umat yang bersatupadu diikat oleh perasaan kasih sayang dan disulami rasa terima kasih sesama kita.
26 February 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment