22 January 2010

Maafkan aku...

:: Marilah kita "Berfikir Di Luar Kotak Pemikiran" ::

Sejak berita tentang aku yang disahkan pengidap kanser ramai yang memujiku sangat hebat dan tabah kerana aku tak pernah menunjukkan tentang keresahan,tentang kegelisahan,tentang ketakutan,tentang kehancuran,dan tentang kesedihanku. Justeru, pelbagai soalan yang diajukan kepadaku dan semua persoalan itu hanya aku jawab dengan segaris senyuman yang hanya aku yang mengerti dan tahu kebenarannya.
Realitinya..aku tak sehebat manapun. Aku jua tak setabah yang diduga. Hakikatnya, aku tak mampu untuk menangisi dugaan demi dugaan yang mendatangiku. Aku sudah puas menangisi ketentuan untukku dan rasanya kolam mataku telah lama kontang membasuhi luka di hatiku. Hati siapa yang tak hancur jika dikhabarkan tentang dirinya sah sebagai pengidap penyakit yang amat ditakuti itu. Namun kehancuran yang sekian lama menjadi hak mutlak aku telah menjadikan aku menerima kesahihan penyakit ini dengan perasaan yang hambar. Mungkin juga jiwaku telah lama mati berkubur dalam serpihan hatiku yang sekian lama menghuni laman waktuku. Untuk mengeluh saja aku sudah tiada upaya lantaran aku tak miliki apa-apa lagi yang dapat membentengi kekuatan ini daripada ranap dalam timbunan kekecewaan. Lalu..jadilah aku seperti robot yang tidak mempunyai perasaan. Langkah diatur pun sudah tiada nafas harapan. Semua harapan dan semangat yang sekian lama mendampingiku satu persatu aku biarkan terlepas dari genggamanku. Aku tiada upaya untuk menggenggam apa-apa harapan apatah lagi untuk mengutip kembali butiran harapan yang berciciran luruh daripada pepohon keimananku.
Kepada insan-insan yang amat menyayangiku..keluargaku,kawan-kawanku dan DIA yang tak jemu-jemu mencuba membakar semangatku...MAAFKAN AKU..kerana aku tak mampu menjadi seperti kehendak kalian. Maafkan aku juga kerana menjadi hipokrit di hadapan kalian...Percayalah..aku tak bermaksud untuk menipu kalian tapi jiwaku telah mati, hatiku telah berkecai dan ketabahanku telah lama berantakan...

2 comments:

  1. Tabahkan hati dan ingat lah, sahabat-sahabat sentiasa ada keliling.....

    ReplyDelete
  2. Rasanya ketabahan itu bukan milikku lagi..semuanya sudah punah..apapun thanks

    ReplyDelete